All Together Now 2021
#ListenToAided: All Together Now Malaysia Bakal Melabuhkan Tirai, Ini Lima Perkara Positif Yang Konsisten Sepanjang Program Ini...
Sedar tak sedar, program All Together Now Malaysia (ATNMY) bakal melabuhkan tirai dengan konsert finalnya Ahad ini.
Kepada penonton setia program ini, mungkin ada yang boleh meneka peserta mana yang mempunyai potensi bergelar juara.
Apapun, dalam #ListenToAided hari ini, penulis mahu berkongsi sedikit pandangan tentang nilai-nilai positif dari ATNMY yang diadaptasi daripada program antarabangsa itu.
Peserta Berani Ambil Risiko
Penulis mengagumi keazaman dan semangat semua peserta ATNMY setiap minggu. Manakan tidak, program ini boleh disifatkan sebagai pertandingan 'kalah mati'. Jika ada peserta lain yang markahnya lebih tinggi, maka tiga kedudukan di podium akan berubah. Dan jika sudah tersingkir, tiada lagi peluang kedua untuk kembali dalam musim yang sama.
Meraikan Pelbagai Bangsa & Umur
Seperti yang pernah disebut oleh kapten juri, Dato' AC Mizal sebelum ini, ATNMY menyatukan peserta tidak kira bangsa dan umur. Penulis sangat bersetuju, perkara ini bukan sahaja boleh disaksikan ketika permulaan program ini, malah ia berterusan hinggalah ke konsert minggu kesembilan Ahad lalu.
Selain para peserta yang berbilang bangsa, barisan jurinya pun begitu, kita dapat menyaksikan pelbagai bangsa disatukan seperti Kid Santhe, Alvin Chong, Erra Fazira, Eric Leong dan ramai lagi. Sangat meriah dan harmoni!
Pematuhan SOP Berterusan
Penulis sendiri mengikuti sesi rakaman ATNMY, apa yang jelas kelihatan, prosedur operasi standard dipatuhi dengan ketat oleh semua juri, peserta dan kru dalaman yang terlibat.
Lokasi rakaman juga sentiasa dipantau oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memastikan tiada pihak yang cuai dengan perkara tersebut. Apa yang penulis boleh katakan, tiada satu pun kes COVID-19 yang dijangkiti sepanjang tempoh rakaman program ini, syukur Alhamdulillah.
Banyak Orang Banyak Ragam
Memandangkan barisan juri yang ditampilkan ramai dan berbeza dengan program nyanyian lain, semestinya kita tidak boleh mengharapkan mereka mempunyai cara penilaian atau pendapat yang sama.
Sudah tentu setiap juri ada cara yang berbeza, begitu juga penerimaan para peminat jika peserta ATNMY sudah memasuki industri hiburan. Lain orang lain penerimaannya. Jadi, tahniah kepada peserta yang mampu membuatkan semua juri bangun dan memberikan markah seratus peratus kepada mereka!
Juri Dari Pelbagai Bidang
Walaupun ATNMY adalah program nyanyian, tetapi para juri yang dipertanggungjawabkan hadir dari pelbagai bidang yang berbeza, ada penyanyi, pelakon, influencer, penyampai radio dan macam-macam lagi.
Dari situ, kita dapat melihat pelbagai bidang seni diraikan dalam satu program yang penuh berprestij. Meskpun ada yang bukan penyanyi, tapi mereka juga tahu menilai berdasarkan pengalaman masing-masing.
Begitulah sediki sebanyak nilai-nilai positif yang penulis lihat dari awal siaran ATNMY hinggalah terkini.
Apapun, jangan lupa untuk menyaksikan konsert final ATNMY, Ahad ini jam 9 malam di Astro Ria.
Ia juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan kemudahan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Dapatkan berita terkini, cepat dan mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah undi artis kegemaran di AME2021? Klik banner di bawah untuk mengundi.