Laman Utama

“1 Syawal Nanti Dapat Rumah” - Masya Allah, Putra Amaris Nekad Bantu Golongan Asnaf, Siap Nak Penuhkan Peti Ais?

Hanafis Haris
14/03/2022
07:22 MYT
Sponsor Banner
“1 Syawal Nanti Dapat Rumah” - Masya Allah, Putra Amaris Nekad Bantu Golongan Asnaf, Siap Nak Penuhkan Peti Ais?

Rumah siap menjelang Syawal! Itu impian pelakon Putra Amaris untuk golongan asnaf terpilih pada tahun ini.

Amaris atau sebelum ini dikenali sebagai Amran Ismail berkata, hasrat tersebut sebenarnya sudah lama ‘dipendam’ kerana sebelum ini rezeki masih belum ada memandangkan kosnya agak besar.

Menurutnya, anggaran keseluruhan kos untuk membina rumah tersebut sekitar RM80,000 hingga RM100,000 yang dikumpulan hasil sumbangan daripada rakan-rakan serta beberapa pihak.

“Saya dah lama niat nak buat rumah untuk asnaf, perlukan peti ais dan rumah.

“Tapi nak buat tak mampu sebab kosnya besar, tapi dengan izin Allah SWT tahun ini saya dan sahabat kata, jom kita buat rumah.

“Dengan hubungan baik yang kita ada, kita gabungankan. Alhamdulillah, tercetus la idea nak buat satu rumah untuk asnaf pada bulan Ramadan.

“Anggaran sebuah rumah untuk keseluruhan lebih kurang RM80,000 hingga RM100,000,” katanya.

Jelasnya, penerima sumbangan rumah itu akan dipilih menerusi data yang diperoleh dan diharapkan ia akan siap dibina menjelang Syawal.

“Insya-Allah projek rumah ini akan bermula pada 1 Ramadan selama lebih kurang 26 hingga 30 hari.

“Kami akan pilih satu keluarga yang betul-betul memerlukan rumah. Pemilihan lokasi sekitar Lembah Klang.

“Biasanya nak siapkan rumah 30 hari itu agak mustahil tapi Alhamdulillah kita ada kontraktor luar biasa. Mana tahu ada kontraktor lain juga yang ingin membantu, kita sama-sama bantu,” katanya.

Tambahnya, apa yang lebih diharapkan adalah keceriaan golongan asnaf ini untuk menyambut Syawal dengan keadaan lebih selesa.

“1 Syawal nanti dapat rumah cantik dan selesa. Kita tidur pun aircond, takkan mereka tak boleh.

“Jika saya rasa saya susah tapi luar lagi susah, aku makan sedap-sedap tapi orang kat luar? Sahabat dah makan ke belum?

“Saya bukan orang kata kaya tp Allah bagi kita kumpulkan sumbangan-sumbangan.

“Tahun lepas infaq kita dapat kumpulkan 200,000 sumbangan. Saya gerak dengan komuniti kecil je, tahun ni Allah tambah lagi,” katanya ketika sidang media Qaseh Infaq Ramadan #Samasamakenyang yang diadakan di Hotel Eastin Kuala Lumpur, Petaling Jaya, semalam.

Dalam pada itu, Amaris memberitahu selain projek Rumah Baharu Asnaf, mereka juga mewujudkan sebuah program baharu iaitu Penuhkan Peti Ais yang menyasarkan lebih 1,000 buah rumah di sekitar Lembah Klang.

Anggaran kos setiap keluarga sekitar RM200 hingga RM500, pelakon drama Andainya Takdir 2 ini masih mengalu-alukan mana-mana pihak yang sudi memberi tajaan khususnya dari segi kewangan dan barangan keperluan.

“Kerjasama daripada syarikat-syarikat korporat, badan bukan kerajaan dan orang ramai yang ingin menyumbang adalah sangat-sangat dialukan.

“Ini antara usaha bersama untuk membantu golongan yang memerlukan dalam mengharungi kehidupan seharian dan meningkatkan taraf kehidupan komuniti mereka,” ujarnya.

Related Topics
Must-Watch Video
Unitar