Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

10 Hari Sebelum Nikah, Watie Seronok Dirai Malam Berinai! - “Majlis Ini Diadakan Awal Sebab …”

Syafiqah Jalal 13/06/2023 | 14:05 MYT
Tunang kepada pelawak Shuib, Watie Hanafiah meriah diraikan dalam sebuah majlis malam berinai bertemakan Arabic Night di Glasshouse at Seputeh, malam tadi.
Watie yang mengenakan baju berona 'shocking pink' itu gembira kerana dapat merealisasikan impiannya untuk mengadakan Majlis Malam Berinai sebegitu sebelum bergelar isteri.
"Alhamdulilah saya bersyukur dan gembira kerana impian saya hendak mengadakan majlis malam berinai yang saya impi-impikan tercapai malam ini.
"Saya suka dengan tema negara Arab ni kerana ia lebih meriah lebih-lebih lagi dapat diraikan bersama keluarga dan rakan-rakan terdekat," katanya kepada Gempak.
Dalam majlis berkenaan Watie lengkap berbusana bertemakan negara padang pasir itu berseri-seri duduk di atas pelamin gah sambil jari jemarinya diinaikan merah.
Tidak seperti kebiasaan, Watie memberitahu dia terpaksa mengadakan Majlis Malam Berinai itu lebih awal iaitu 10 hari sebelum bergelar isteri kerana mengikut kelapangan Shuib.
"Sebenarnya Shuib ni terlalu sibuk dan jadualnya padat, jadi hanya pada tarikh ini kita dapat adakan majlis pada malam ini.
"Lagipun saya lebih suka ia diadakan lebih awal supaya selepas ini dapat fokus pada majlis pernikahan sahaja nanti," kongsinya lagi.
Dalam majlis berkenaan Shuib turut hadir di pertengahan acara bersama anak-anak dan ibunya sedondon mengenakan busana berwarna sama seperti tunangnya.
Pada petang tadi pula, Majlis Khatam al-Quran Watie bersama kumpulan marhaban selesai dijalankan dan ia dihadiri hanya keluarga terdekat mereka.
BACA: “Dapat Tunjuk Ajar Ustazah Selama Seminggu” - Watie Hanifiah Selamat Khatam Al-Quran, Perdengarkan Bacaan Surah Lazim
Kedua-dua majlis itu juga akan disiarkan dalam siri mini terbaharu yang akan merakamkan detik manis dan perjalanan cinta pasangan itu berjudul Walimatulurus Shuib dan Watie.
Program tiga episod itu akan menemui penonton secara eksklusif bermula pada 24 Jun ini, jam 9 malam di Astro Ria.
Terdahulu, Shuib dan Watie mengikat tali pertunangan dalam majlis tertutup di kediaman usahawan itu di Shah Alam pada 6 Mei lalu.
Pada April lalu, Shuib mengesahkan bakal memperisterikan Watie selepas hampir dua tahun bergelar duda.
Shuib pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada 2011.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.
Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan COVID-19.
#Nikah #Shuib #Malam #Watie #Berinai!
;