Laman Utama

10 Tahun Bercinta, Raysha Rizrose Selamat Bernikah Dengan Pelumba Kereta Formula 2

Asyikin Mayudin
22/02/2023
13:15 MYT
Sponsor Banner
10 Tahun Bercinta, Raysha Rizrose Selamat Bernikah Dengan Pelumba Kereta Formula 2
Selepas 10 tahun menjalinkan hubungan cinta, pelakon Raysha Rizrose, 26, sah bergelar isteri kepada usahawan dan pelumba kereta Formula 2, Nabil Jeffri, 29, dengan sekali lafaz pukul 8.52 malam tadi.
Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Fariz Arshad, dengan disaksikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi, dalam majlis tertutup di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Rasya yang mengenakan persalinan rona putih rekaan Teh Firdaus dan ditatarias Syed Faizal Syed Noh, melahirkan rasa syukur atas segala perancangan diatur berjalan lancar.
“Syukur segala-galanya yang dirancang salama ini dipermudahkan. Saya dengan kerendahan hati amat terharu kerana sejak mengumumkan berita pertunangan, banyak mesej dan doa yang baik-baik dipanjangkan ramai.
“Saya doakan kebaikan sama berbalik kepada semua. Semoga permulaan fasa baharu membina masjid ini akan terus mematangkan saya dan suami, insya-Allah,” kata Dewi Remaja 2014/2015 itu.
Pada majlis yang dihadiri sekitar 200 orang itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM2,222 bersama tujuh dulang hantaran berbalas jumlah sama selain wang hantaran tidak dinyatakan atas permintaan keluarga.
Adik kepada Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose itu sempat menyingkap kisah perkenalan mereka mekar sejak 10 tahun lalu.
“Kami kenal dari tahun 2013 menerusi akaun Twitter. Ketika itu saya masih menuntut di sekolah menengah.
“Biasalah dalam tempoh sedekad itu, hubungan kami ada turun naik. Tapi pada akhirnya kami banyak bertolak-ansur. Kepercayaan dan komunikasi menjadi teras kepada hubungan kami,” kata anak keempat daripada tujuh beradik itu.
Malah pelakon filem Seandainya Kau Ada itu turut berkongsi tarikh lamaran Nabil yang terpateri pada 16 Ogos 2022.
“Momen dan detik itu masih berbekas di hati. Ini kerana lokasi lamaran berkenaan terjadi di tempat sama dia melamar saya sebagai kekasih, iaitu di sebuah lokasi di Subang Jaya, Selangor kira-kira sedekad lalu,” katanya.
Sementara itu, Rasya mengakui dia masih belum mempunyai perancangan untuk bulan madu dan soal anak disebabkan faktor kerja yang perlu diselesaikan selepas berkahwin.
“Banyak komitmen dan kerja yang saya kena selesaikan selepas kahwin. Malah sebelum majlis nikah ini pun, saya terikat dengan penggambaran beberapa kempen dan projek yang tak memerlukan komitmen panjang. Jadi bolehlah saya fokus membuat persiapan kahwin dalam tempoh itu.
“Sejujurnya, memang belum ada perancangan berbulan madu lagi saat ini. Soal anak pula, baik saya dan suami tidak meletakkan ketetapan. Bagi kami perihal cahaya mata ini, insya-Allah ada rezeki ia akan datang tepat pada waktunya.
“Cuma selepas kahwin, saya perlu lebih selektif memilih watak. Saya sudah berubah status, jadi keutamaan tentunya lebih kepada suami,” katanya.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar