Laman Utama
10 Tahun Menyepi, Waheeda Wassini Is Back! - "Saya Menyimpan Impian Untuk ..."
Waheeda, penyanyi yang pernah menambat hati rakyat Malaysia dengan lagu-lagu pop-etnik fusion seperti Wassini, Binafsha, dan Dua Dalam Bahtera kini kembali ke arena muzik tempatan selepas lebih 15 tahun berehat.
Bekas pemenang tempat ketiga Voice of Asia ini, berehat seketika dari kerjayanya dalam industri muzik pada tahun 2009 selepas berkahwin dengan penyanyi dan penceramah terkenal, Akhil Hayy.
Kembalinya semula Waheeda yang kini mahu dikenali sebagai komposer, pemuzik, dan pencerita melalui lagu-lagu yang dihasilkan.
Waheeda terus menghasilkan lebih banyak lagu yang menggabungkan unsur-unsur kepelbagaian etnik dunia dengan sentuhan moden, seperti Now I Do, Melodi Ahlan, Sindiran dan banyak lagi.
Lebih dari satu dekad Waheeda memencilkan diri dari mata awam, dengan hanya membuat penampilan sesekali di media sosial. Peminatnya tertanya-tanya sama ada beliau akan kembali ke arena muzik, atau beliau telah melepaskan minatnya untuk selama-lamanya?
Namun, tahun ini (2023), Waheeda mengejutkan semua pihak dengan pengumuman untuk kembali aktif di arena seni.
"Untuk kehadiran semula ini, saya membawa matlamat untuk menjadikan karya-karya muzik yang saya hasilkan sebagai medium utama untuk menyebarkan ilmu.
"Saya juga ingin berkongsi ruang yang ada dengan bakat-bakat seni tanah air, yang mana sudah lama mencuba nasib untuk menembusi pasaran semasa, saya buka ruang untuk mereka berkongsi karya seni.
"Saya menyimpan impian untuk melihat hasil kerja seni saya dan anak-anak Malaysia yang lain berkembang dan menembusi pasaran antarabangsa. Saya juga terbuka untuk berkerjasama dengan pengkarya seni dari luar negara dalam mengembangkan lagi pengaruh muzik saya,” ujar Waheeda.
Waheeda main biola
Sepanjang tempoh berehat, Waheeda juga telah mengasah bakatnya dalam bermain pelbagai alat muzik, seperti biola dan juga memantapkan kemahiran beliau bermain piano.
Ini adalah antara instrumen-instrumen penting yang sentiasa menjadi penyeri dalam lagunya yang disulam dengan rentak dan bunyi moden.
Semua katalog muzik Waheeda yang menampilkan dua album utama iaitu Binafsha dan album Etnik Terbaik AIM 2008; Melodi Ahlan kini boleh didapati di semua platform penstriman utama di seluruh dunia termasuk Spotify, Apple Music, Youtube, Youtube Music, Amazon Music, Tidal, Deezer, dan Joox.
Dalam perkembangan lain, Waheeda kini diurus sepenuhnya oleh Skyson PR, kini sedang berbincang untuk berkolaborasi dengan beberapa penyanyi yang berada di carta terunggul.
Peminat dijangkakan dapat mendengar single baru Waheeda pada suku pertama tahun 2024.