Laman Utama
1,000 Tiket Terjual, Nusafest Target 20 Ribu Orang Tonton Fourtwnty, Jemson, Bunkface, Kunto Aji, Hindia & Ramai Lagi
Festival Nusafest yang sepatutnya berlangsung pada 2020 lalu namun tertunda lantaran pandemik COVID 19 akan kembali pada 2023.
Penganjur, Shiraz Projects Sdn Bhd memilih tanggal 4 dan 5 Februari 2023 dengan Bandar Malaysia, Sungai Besi sebagai lokasi yang dijangka mampu menarik sekitar 20,000 pengunjung dalam pesta yang bukan sahaja menyajikan muzik tetapi seni serta makanan tersebut.
Malah dengan bangga juga Shiraz mengumumkan sebanyak 1,000 tiket telah terjual tanpa peminat mengetahui siapakah barisan pemuzik yang akan menghiburkan mereka kelak.
“Suka untuk saya umumkan sebanyak 1,000 tiket telah terjual tanpa peminat tahu siapa yang akan menghiburkan mereka.
“Maka saya percaya sasaran 20,000 pengunjung untuk dua hari dengan line up yang dipilih, boleh dicapai,” kata Shiraz dalam sidang media memperkenalkan barisan pemuzik yang akan menghangatkan Nusafest di Hotel Parkroyal Collection.
Selain 1,000 tiket telah terjual, Shiraz percaya barisan pemuzik yang dipilih dari tiga negara dalam konteks nusantara akan menjadikan Nusafest sukses.
Berbeza dengan penampilan yang pernah diumumkan pada tahun 2020 seperti kehadiran penyanyi Raisa, Padi Reborn, Joe Flizzow atau Cromok, Nusafest yang disifatkan sebagai festival terbesar di Malaysia pada suku tahun pertama 2023 dibarisi banyak pelaku seni terkenal.
Mereka antaranya Burger Kill, Fourtwnty, Jemson, Bunkface, Kunto Aji, Hindia, Budak Nakal Hujung Simpang, The Pinholes, Forceparkbois, Gerhana Ska Cinta, White Persussion Unit, Salammuzik dan Pusakata.
“Akan ada sebanyak 22 pemuzik yang akan memeriahkan Nusafest, namun kami baru memperkenalkan 19 daripadanya.
“Mengapa kami memilih nama nama ini bermain dalam festival ini adalah kerana mereka relevan dan mempunyai banyak pengaruh dalam kalangan peminat.
“Adalah penting buat Nusafest menarik pengunjung yang mencintai pelbagai genre muzik dari metal sehingga hip hop ini kerana projek ini menelan belanja RM4 juta,” kata Shiraz lagi.
Tiket tiket berharga RM300 (early bird), RM1,200 (bundle of 4) dan RM350 untuk normal ticket sudah mula dijual melalui www.myticket.asia atau tiket hotline: 03 8605 0196.
Peminat juga boleh mencari tahu tentang Nusafest menerusi Instagram nusafest.my, Facebook; Nusa Fest dan laman web www.nusafest.com.