Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Viral

108 Pelanggan Keracunan Makanan Selepas Makan Ayam Tandoori Di Pengkalan Chepa, Restoran Diarah Tutup!

Gempak 24/10/2024 | 13:20 MYT
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengarah sebuah restoran di Pengkalan Chepa ditutup berikutan pelanggan yang berkunjung ke premis tersebut didapati mengalami keracunan makanan.
Ia dipercayai berlaku setelah pelanggan terbabit membeli ayam masak tandori pada 17 Oktober lalu.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, siasatan awal mendapati semua individu terlibat mempunyai gejala yang sama iaitu memakan masakan tersebut.
Menurutnya, episod pertama keracunan di premis yang sama berlaku pada Januari lepas.
Kata beliau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu menerima notifikasi kejadian keracunan makanan daripada klinik swasta dan hospital kerajaan pada 18 Oktober.
“Sehingga 24 Oktober jam 2 petang sebanyak 108 kes dikesan dengan gejala-gejala seperti cirit-birit, sakit perut, demam, pening dan muntah.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 18 kes dimasukkan ke wad di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ ll) dan beberapa hospital swasta di mana 9 kes discaj daripada wad dan 9 lagi masih dirawat,” katanya pada kenyataan hari ini.
Manakala 50 kes lagi dirawat sebagai pesakit luar dan 40 kes tidak mendapatkan rawatan, kesemua kes berada dalam keadaan stabil.
Katanya, pemeriksaan premis makanan tersebut dijalankan pada jam 8.30 malam 19 Oktober, di mana seramai 18 pengendali makanan ditemui.
“Aktiviti pensampelan dijalankan di mana 16 sampel diambil iaitu sampel klinikal pesakit, sampel pengendali makanan, makanan, air, dan persekitaran.
“Premis tersebut diarah ditutup di bawah Seksyen 18 (1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988 [Akta 342] pada 19 Oktober 2024,” katanya.
Sumber: Harakah Daily
#Viral #Restoran #Kelantan #Tutup #Keracunan #Ayam Tandoori #Pengkalan Chepa
;