Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

13 Tahun Lagu Ramadan Datang Popular, Tompi Rakam Lagu Kerohanian Kerana Sikap Generasi Muda

Maliah Surip 22/03/2023 | 14:11 MYT
Lagu Ramadan Datang merupakan salah sebuah lagu paling popular dan kerap diputarkan sesuai dengan sambutan bulan mulia tersebut.
Diam tak diam, lagu yang didendangkan oleh Tompi itu sudah berusia 13 tahun. Dan sejak itu, penyanyi asal Indonesia tersebut tidak pernah sekalipun merakamkan lagu bersifat kerohanian lagi.
Namun tidak untuk kehadiran Ramadan pada tahun ini. Selepas 13 tahun, Tompi telah merakamkan sebuah lagu khas untuk Ramadan yang berjudul Ada Anak Bertanya Mana Bapaknya.
Ada Anak Bertanya Mana Bapaknya bukan sebuah karya baharu, sebaliknya Tompi membuat remake terhadap lagu milik Bimbo.
Tompi ada alasan tersendiri merakamkan semula lagu tersebut. Hal itu kerana hatinya terpaut pada lirik lagu yang mendalam, terutama tentang pegangan agama.
“Pada awalnya ia bukan sebuah projek serius, saya hanya memainkan ia untuk suka-suka.
“Tapi ternyata liriknya sangat dalam dan saya melihat anak generasi sekarang semakin jauh dari agama.
“Lagu ini bukan hanya untuk anak-anak kita, tapi buat semua orang menikmatinya,” kata Tompi seperti dilaporkan InsertLive.
Malah dia yang siap merilis video klipnya turut menyelitkan kenangan bersama arwah ibu sebagai satu kenangan buatnya yang kerap diajar tentang agama dan kebaikan oleh sosok wanita penting itu.
“Saya rasa orang yang paling berjasa mengajarkan bab agama adalah ibu saya. Setia hari tanpa jemu sepanjang dia masih hidup, dia ingatkan tentang agama. Dia adalah yang terbaik,” katanya.
Tompi juga menjelaskan dia memang sengaja tidak melahirkan lagu kerohanian pada setiap tahun kerana tidak mahu dilabel sebagai penyanyi lagu kerohanian.
“Kalau buat setiap tahun nanti jadi penyanyi lagu kerohanian. Saya bukan cari duit (menyanyi). Duit boleh cari di tempat lain,” katanya yang juga merupakan seorang doktor.
#Ramadan #Lagu #Muda #Tompi #Kerohanian #Generasi #13 Tahun
;