Laman Utama
15 Tahun Tak Bertanding Di Muzik Muzik, Ziana Zain: “Nervous, Rasa Nak Terkencing…”
Untuk seorang figura hebat seperti Ziana Zain, mungkin ada yang beranggapan kerja menyanyi atau menyertai sebarang pertandingan bukan satu masalah.
Kata orang menyanyi itu ‘makanan’ bagi penghibur sehebat Ziana yang sudah lebih dua dekad bergelumang dengan dunia seni.
Namun Ziana mendedahkan dirinya berasa cemas dan gementar saat menjadi salah seorang peserta semifinal muzik-muzik 38 pada hari pertama.
BERITA TRENDING: Ziana Zain Minta Hasif Upin Jangan Layan Haters - "Jangan Goyah, Terus Melangkah!"
Hal itu lantaran ia menjadi pentas pertama selepas 15 tahun beliau tidak menyertai pertandingan tersebut. Ziana tercalon untuk semi final ke-38 menerusi lagu duet bersama pendatang baharu, Hasif Upin iaitu Waktu.
Waktu merupakan single yang diciptakan oleh Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat .
Ironi Ziana sebelum ini pernah layak ke semi final Muzik-Muzik menerusi lagu Dingin pada tahun 2008.
“Nervous macam baru pertama kali, nervous sangat. Rasa nak terkucil, terkencing di situ (pentas) semua ada,” ujar Ziana Zain sewaktu ditemui media di studio ntv7, Glenmarie, Shah Alam, Selangor.
Meski punya rasa gementar, Ziana tetap bersyukur kerana pada usia 55 tahun dirinya masih berada dalam industri dan layak menyertai pertandingan nyanyian.
“Di umur begini, 55 tahun tapi saya masih lagi ada dalam industri dan masuk Anugerah Juara Lagu ,walaupun nak dikira rakan-rakan saya sudah penat bertanding.
“Tapi bila saya tengok pencipta lagu dan penulis lirik, harapan pada kita, saya tidak sampai hati. Bukan senang berkarya.
“Jadi saya buat tanggungjawab saya, buat yang terbaik, yang lain semua rezeki Allah kerana saya orang yang selalu ada di tengah-tengah. Jangan terlalu berharap dan jangan pula tidak berharap apa-apa.
“Apa yang penting saya sudah buat persembahan. Ada rezeki, ada, tidak ada tak mengapa,” kata Ziana positif.