Hiburan
"2 Hari Siap 13 Episod" - DJ Dave Kembali Mengacara Selepas 20 Tahun
Penyanyi Datuk DJ Dave kembali menjadi pengacara selepas lebih 20 tahun meninggalkan bidang tersebut.
Kata Dave atau nama sebenarnya Irwan Shah Abdullah, dia tidak kekok untuk mengendalikan rancangan Langit Bakal Cerah terbitan stesen TV baharu, Awesome TV.
"Program Langit Bakal Cerah ini adalah program 13 episod dan konsepnya adalah mengetengahkan artis-artis veteran yang masih lagi berbakat.
"Tak kekok kerana sebelum ini saya pernah mengacara dan selalu berinteraksi dengan penonton setiap kali membuat persembahan contohnya di acara konsert dan sebagainya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Awesome TV di Hotel Ritz-Carlton, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Dave lagi, ia satu pengalaman baharu apabila perlu menghabiskan rakaman 13 episod dalam masa dua hari.
"Cara kerja produksi hari ini pantas dan berbeza. Dalam masa dua hari, kami siapkan semua 13 episod dan saya menemubual artis-artis veteran yang menjadi tetamu jemputan.
"Menariknya, rakaman antara saya dan artis-artis terbabit dilakukan berasingan dan kemudian disatukan," ujarnya.