Laman Utama
20 Tahun Bersabar, JLo & Ben Affleck Kahwin Mengejut Di Las Vegas! Tukar Baju Dalam Tandas?
Bintang Hollywood, Jennifer Lopez kini sah bergelar isteri kepada Ben Affleck di Las Vegas pada Ahad.
"Kami akhirnya lakukannya. Cinta itu amat indah. Cinta itu menyenangkan. Dan cinta itu akhirnya lambang kesabaran. 20 tahun erti kesabaran itu," tulis JLo dalam satu kenyataan dan menamakan dirinya Mrs Jennifer Lyn Affleck.
Difahamkan, majlis itu diadakan secara sederhana dan pasangan yang terkenal dengan julukan Bennifer itu hanya bertukar ikrar di sebuah gereja bersama beberapa pasangan lain.
"20 tahun penuh sabar, itu yang kami mahukan. Semalam kami ke Las Vegas dan beratur dengan pasangan lain untuk berkahwin.
"Apabila cinta itu benar, perkara paling utama adalah perkahwinan dan perjanjian untuk saling menyayangi, memahami, sabar dan menjadi lebih baik untuk satu sama lain. Malam yang cukup indah buat kami," ujarnya.
JLo juga difahamkan sempat menukar gaun putih di dalam sebuah bilik persalinan manakala Ben bersiap di tandas.
Menerusi tulisan JLo dalam satu hantaran surat berita, gaun putih yang dipakainya itu merupakan salah satu gaun daripada filem lakonannya manakala jaket tuksedo Ben adalah milik pelakon itu sendiri.
Bagaimanapun, Ben masih mengunci mulut daripada berkongsi sebarang kisah daripada perkahwinan mengejut itu.
Untuk rekod juga, Ben telah melamar Jennifer sekitar April lalu ketika kedua-duanya sedang berada di dalam tandas.
Dalam pada itu, menerusi satu posting terbaru yang dimuat naik di laman Instagram @usweekly, melihatkan foto Jennifer dengan busana pengantin bersama suaminya.
"Mempersembahkan Encik dan Puan Affleck! Jennifer Lopez berkongsi foto perkahwinannya dengan Ben Affleck di Las Vegas dan beberapa momen manis lain dari perkahwinan mereka.
"Puan Jennifer Lynn Affleck - J. Lo membayangkan bahawa dia akan menukar namanya selepas berkahwin dengan Ben Affleck pada hari Ahad," tulis portal berkenaan pada kapsyen.
Jennifer dan Ben pernah menjalinkan hubungan cinta pada 2002 namun mereka telah berpisah dua tahun kemudian.
Selepas 18 tahun, pasangan ini kembali bercinta.
Sumber: The New York Times, US Weekly, Daily Mail