Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

24 Tahun Menetap Di Amerika, Datuk Shake Tetap Fasih Bahasa Melayu - "Masih Boleh Baca Dan Tulis Jawi"

Gempak 26/11/2023 | 07:50 MYT

Berpuluh tahun berkelana di bumi perantauan tidak sesekali membuatkan penyanyi legenda, Datuk Shake, 73, melupakan asal usul dan bahasa ibunda.

Berhijrah ke Paris, Perancis pada usianya 22 tahun, kemudian menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat selama 24 tahun, Shake atau nama sebenarnya, Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh tetap anak Johor Bahru yang pernah mendapat pendidikan di sekolah agama.

"Saya anak Johor dan bersekolah Jawi hingga Darjah Tiga, kemudian barulah saya ke sekolah Inggeris.

"Jadi, mana mungkin saya lupakan bahasa ibunda, Melayu. Saya juga masih boleh tulis dan baca bahasa Jawi," katanya.

Masih aktif menyanyi di Perancis dan fasih dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Perancis, Shake berkata, isterinya yang juga model dan pelakon teater berketurunan Czechoslovakia, Datin Melina Shake Abdullah juga mengetahui beberapa perkataan bahasa Melayu.

"Justeru tak mungkin bahasa Melayu hilang daripada ingatan.

"Namun sukar buat saya kembali menetap di Malaysia memandangkan anak, cucu dan aset-aset di Perancis," ujarnya seperti yang dilapor BH Online.

Hasil perkahwinan Shake dan Melina, mereka itu dikurniakan empat cahaya mata, Mina, 52, Natacha, 45, dan sepasang anak kembar, Nicholas serta Amaro, 42. Pasangan bahagia itu juga dikurniakan tujuh cucu.

Namun, penyanyi yang popular menerusi lagu Kau Bungaku, Lina, Umi dan Anugerah Dari Kegagalan berkata, perasaan sayang terhadap tanah air tidak pernah luntur, namun keluarga juga keutamaan terutama anak dan cucu.

"Bukan tak nak duduk atau tak suka Malaysia tapi anak, cucu dan harta benda dimiliki, semua ada di sana.

"Sudah tentu saya tak boleh tinggalkan, terutama anak dan cucu. Takkan saya nak berada jauh dari mereka. Memang tak boleh, ini pun saya sudah rindu, jadi ia mustahil," katanya.

Dalam pada itu, Shake berkata dia selalu pulang ke tanah air kerana masih ada keluarga dan saudara mara di Johor.

Berkongsi mengenai anaknya, Shake berkata, anaknya mempunyai minat dalam bidang seni tanpa dipaksa.

"Semuanya menceburi bidang seni, anak perempuan saya pelakon dan penyanyi, namun tidak menyambung karier seni apabila berkahwin.

"Namun, kedua-dua anak lelaki saya masih bekerja dalam bidang seni ini.

"Seorang adalah pengarah filem dan seorang lagi pelakon dan melakukan kerja dalam bidang penerbitan. Nicholas dan Amaro memilih menceburi bidang seni ini," jelasnya.

Konsert Datuk Shake akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 16 Disember depan.

Bakal berlangsung selama 90 minit, antara lagu yang bakal dipersembahkan adalah Umi, Anugerah Dari Kegagalan, Lina, Kau Bunga Ku dan You Know I Love You (Tu Sais Je T'aime).

Sumber: BH Online

#Tulisan Jawi #Amerika #Datuk Shake #Bahasa Jawi #Fasih Melayu
;