Laman Utama
3 Mahasiswa Diganggu Roh Tak Aman Ketika Bercuti!
Bilik Tepi yang dihasilkan oleh Feisk Productions di bawah sutradara Feisal Azizuddin merupakan sebuah naskhah seram tentang tiga mahasiswa diganggu oleh roh yang tidak aman sewaktu bercuti.
Kata pengarahnya, Feisal Azizuddin, banyak konflik dibentangkan dengan jump scare yang tidak terjangka hadir dalam naskhah yang sudahpun dihasilkan tahun lalu ini.
"Bilik Tepi merupakan salah satu filem di mana kami mengambil kamera dan mengumpulkan beberapa rakan untuk penggambaran.
"Setelah mengerjakan filem pendek bergenre seram pada tahun sebelumnya, kami merasakan menarik untuk melihat perkara yang boleh kami hasilkan, menggunakan sumber terhad yang tersedia," katanya.
Menurut Feisal lagi, walaupun filem itu hanya berdurasi lebih sejam, pengalaman pembikinannya telah memberi sumbangan yang besar kepada perjalanan hidup dirinya dan pihak produksi.
"Bilik Tepi adalah dedikasi kepada seram klasik. Kami agak baru dalam pembikinan filem. Kami mahu mencabar diri sendiri dengan melihat apa yang boleh kami capai dengan kru asas, bajet yang ketat dan jadual penggambaran 10 hari," tambahnya.
Bilik Tepi dibintangi nama asing dunia komersial tetapi mempunyai bakat besar seperti Farihin Ufiya, Aisha Ellingham, Ravena Jazmine, Joshua Tsi dan Syazani Zikry.
Naskhah tersebut berjudul Bilik Tepi dan sudah boleh distrim di platform VIU pada 10 Mac 2023.