Laman Utama

50,000 Kenderaan Dijangka Masuk Kelantan, Polis Lakukan SJR & Tubuh Pasukan Pemantau Untuk Pastikan Perantau Patuh SOP

Fiza Kamarudin
12/10/2021
09:15 MYT
Sponsor Banner
50,000 Kenderaan Dijangka Masuk Kelantan, Polis Lakukan SJR & Tubuh Pasukan Pemantau Untuk Pastikan Perantau Patuh SOP
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat menjangkakan lebih 50,000 kenderaan perantau dan pelancong domestik masuk ke Kelantan menjelang hujung minggu ini.
Beliau turut menasihatkan rakyat Kelantan, perantau yang sudah sampai dan yang bakal pulang ke kampung supaya terus mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19, memandangkan kes harian di negeri tersebut masih lagi tinggi.
Katanya, hari pertama selepas kebenaran merentas negeri diumumkan Perdana Menteri jumlah peningkatan kenderaan masuk ke Kelantan berlaku secara mendadak bermula pada jam 12.01 pagi.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan di empat sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri iaitu dua di Gua Musang, Pasir Puteh dan Jeli mendapati mereka mematuhi arahan kerajaan iaitu lengkap dua dos vaksin Covid-19.
“Selain SJR, 154 pasukan pemantauan polis ditubuhkan sebagai persediaan menerima kemasukan masyarakat dari luar Kelantan dan memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di tempat-tempat awam serta lokasi pelancongan,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar SOP bagi mengekang penularan Covid-19.
Pada Isnin, angka kenderaan masuk ke negeri Kelantan meningkat berbanding hanya sekitar 11,000 kenderaan yang masuk ke negeri tersebut sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 awal tahun ini.
Shafien berkata, kira-kira 20 peratus peningkatan kenderaan yang masuk ke Kelantan.
Beliau ditemui selepas menyertai Program Masyarakat Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pasar Jelawat, Bachok.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat Abdul Aziz Kadir.
Artikel asal: Sinar Harian
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar