Nusantara
"6 Bulan Tak Ada Kes Tempatan" - Zahirah Yakin Balik Bersalin Di Australia, Kini Sedang Kuarantin Diri
Enggan membiarkan netizen mencetuskan spekulasi, pelakon Zahirah MacWilson tampil menjelaskan prosedur dan kesediaannya yang pulang ke Perth, Australia untuk tujuan bersalin di sana.
Jelas Zahirah, keyakinannya itu disebabkan tiada kes tempatan dilaporkan sepanjang enam bulan di wilayah terbabit selain jumlah kes sebelum ini juga sangat rendah.
"Untuk yang tertanya mengenai kes di Perth... dah enam bulan tak ada kes tempatan. Sebelum ini pun kes sangat rendah. Sekarang mereka tidak ada SOP seperti kena pakai mask atau kena social distancing.
"Mereka mengambil tindakan yang serius dalam hal keselamatan dan itu sebabnya mereka dapat mengatasi keadaan selama ini," kata Zahirah.
Terdahulu, Zahirah dan suami, pelakon Aiman Hakim Ridza berkongsi keterujaan mereka pulang ke Perth pada Jumaat.
BACA: "Tahun Depan Kami Balik Bertiga" - Aiman & Zahirah Berangkat Ke Australia Untuk Urusan Bersalin
Dalam pada itu, tegas Zahirah, Australia Barat juga telah menutup pintu sempadan sehingga April 2021 dan hanya membenarkan kemasukan ke wilayah berkenaan dengan syarat tertentu.
Pelakon filem Bulan & Pria Terhebat itu turut mengakui bukan mudah untuk dia dan Aiman melalui proses untuk mendapatkan kebenaran dari kerajaan Malaysia dan Australia.
"WA (Western Australia) tutup sempadan mereka dan akan sentiasa tutup sehingga April 2021. Kecuali anda memegang visa PR, warganegara, kecemasan, perniagaan atau ada alasan kukuh baru boleh masuk.
"Itu pun sudah tentu kena minta kebenaran dari kerajaan Malaysia dan Australia terlebih dahulu. Ia bukan sesuatu yang mudah tapi Alhamdulillah, Allah dah susun semuanya.
"Kami kini menjalani kuarantin untuk 14 hari seterusnya walaupun dua-dua dah keputusan negatif untuk Covid-19. Apa-apa pun... semoga Allah sentiasa lindungi kita semua," ujarnya.
Zahirah mendirikan rumah tangga dengan Aiman pada 20 Februari lalu.
Instagram: @zahirahmacwilson