Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

6 Bulan Tak Disentuh Suami, Ustaz Tarbiah Papar Realiti Perkahwinan

Amri Hassan 24/02/2021 | 13:50 MYT
Enam bulan berkahwin tetapi tidak pernah disentuh suami selain tidak menghormati mentua antara kes yang pernah berlaku dalam perkahwinan seperti mana yang dilaporkan ke pejabat agama sebelum ini.
Perkara tersebut bukan satu kisah rekaan sebaliknya benar-benar berlaku sehingga memaksa pasangan tersebut memfailkan penceraian.
Namun itu bukanlah hanya kisah yang berlaku sebaliknya pelbagai lagi kisah pelik, tragis dan pelbagai ragam yang diangkat menerusi drama pendek YouTube Ustaz Tarbiah yang kini bersiaran menerusi saluran JICTV sejak beberapa minggu lalu.
“Memang banyak sebenarnya kisah rumah tangga yang berlaku dalam masyarakat kita membuatkan pegawai khidmat nasihat terpaksa menyiasat terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut.
“Berdasarkan kisah-kisah ini kita kutip dan jadikan sebuah drama episod pendek di YouTube. Setidaknya isu-isu seperti ini boleh menjadi pengajaran kepada semua dalam menghadapi layar rumah tangga,” kata Jaja Ishak yang juga merupakan pencetus idea asal Ustaz Tarbiah.
Menariknya, MF Kenchana yang juga merupakan antara penulis skrip disegani di Malaysia menggarap 13 isu seperti mana yang dikutip daripada pengalaman pegawai khidmat nasihat yang mengendalikan kes penceraian di Pahang.
Jika mengikutkan kes dipaparkan, ustaz tersebut akan mengupah penyiasat sendiri bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan kes yang difailkan sebelum mengambil tindakan lanjut. Namun kebanyakan kes tersebut berjaya diselesaikan tanpa sampai ke tahap penceraian.
Tambahnya, JICTV juga beruntung kerana mendapat Dana Kandungan Digital (DKD Mikro) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi merangsang dan merancakkan lagi kandungan digital dengan kandungan yang menarik.
Tidak sekadar menggunakan tenaga kerja professional, Ustaz Tarbiah juga menggunakan pelakon seperti Aisar Khaled, Didi Zakir, Hafidz Wolo, Riedzuan Othman dan beberapa bakat Pahang memandangkan penggambaran dilakukan seratus peratus di Kuantan.
“Memang kita beruntung dapat menyumbangkan idea dan kisah sebenar yang menarik untuk memberikan sesuatu yang segar menerusi YouTube. Kita sediakan kandungan percuma dan berkualiti untuk mereka dan sudah tentu ini akan memberikan sesuatu yang pengajaran buat semua.
“Dengan adanya dana seperti ini sebenarnya memberikan semangat buat penyedia kandungan untuk terus berkarya di platform berkenaan. Setidaknya mereka bebas memilih isu, pelakon dan pelbagai kelebihan selain menjana pendapatan sendiri,” tambah Jaja Ishak lagi.
Sudah empat episod bersiaran, maklum balas yang diterima cukup baik daripada penonton. Pelbagai kisah yang tidak pernah didedahkan kepada umum dipertontonkan bagi memberikan pengajaran berguna buat semua.
Ustaz Tarbiah menemui penonton setiap Jumaat, pukul 9 malam menerusi saluran YouTube JICTV.
#Viral #Rumah tangga #YouTube #Jaja Ishak #Ustaz Tarbiah
;