Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

80% Tiket Laris Terjual, Lebih 5,000 Penonton Dijangka Hadir Ke Konsert Terakhir Boyzone Di Kuala Lumpur

Kamaruddin Razal 11/06/2019 | 11:54 MYT
Lebih 5,000 penonton dijangka membanjiri Stadium Malawati, Shah Alam pada 14 Jun ini bagi menyaksikan kumpulan kesayangan mereka, Boyzone, beraksi di pentas buat kali terakhir.
Jualan tiket bagi konsert Thank You & Goodnight Farewell Tour 2019 sedang hangat dan penganjurnya, Wowstar Creative Entertainment mengesahkan lebih 80 peratus tiket telah laris dijual.
Tiket dijual pada harga-harga RM198, RM438, RM588 dan RM688.
Kumpulan terkenal dari Ireland yang dianggotai Ronan Keating, Shane Lynch, Keith Duffy dan Mikey Graham akan memukau peminat dengan adunan lagu popular sepanjang karier nyanyian mereka.
“Kuala Lumpur adalah antara bandar paling penting bagi rancangan strategik Wowstar di Asia.
“Ia satu penghormatan bagi kami kerana berjaya membawa lagenda kumpulan pop dari Ireland ini kembali ke Kuala Lumpur untuk mempersembahkan konsert terakhirnya kepada peminat-peminat Malaysia pada Jun ini,” kata Gloria Wei, Ketua Pegawai Eksekutif Wowstar Creative Entertainment.
Terkini, syarikat terbabit telah berjaya menganjurkan persembahan penyanyi dan penulis lagu berasal Amerika Syarikat iaitu Jason Mraz di Asia termasuk di Kuala Lumpur pada 13 Mei lalu.
Untuk bulan-bulan berikutnya, syarikat hiburan tersebut akan menganjurkan persembahan artis dan kumpulan antarabangsa termasuk beberapa kumpulan pop, rock dan penyanyi fenomena dan popular di Asia.
Walaupun baru berusia setahun lebih dalam beroperasi, Wowstar Creative Entertainment telah berjaya menganjurkan antara 40 hingga 50 konsert dan melabur dalam 10 projek filem berbahasa Kantonis atau Mandarin.
Ini merangkumi barisan bintang K-Pop, J-Pop, Hong Kong and Mandarin, artis dan kumpulan antarabangsa serta pelaburan strategik dalam filem blockbuster aksi ‘urban terrorism’ berjudul, “Shock Wave 2” hasil terbitan dan lakonan pelakon popular Andy Lau.
“Kami mengalu-alukan hubungan akrab dengan rakan kongsi kami yang sedia ada di rantau Asia Pasifik ini, dan kami ingin membina hubungan baru dengan rakan kongsi berpotensi dalam pasaran” kata Wei.
Beliau juga berkata syarikatnya telah membuktikan kemampuannya sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dan bernilai tinggi tidak kira sebagai penganjur, agen promosi, penerbit, pengagih atau pelabur.
Selain menganjur konsert dan live music, Wowstar Creative Entertainment turut mengurus serta melatih para artis disamping menerbit serta mengagih filem, program televisyen serta komersial.
#Boyzone
;