Laman Utama
Aaisyah Selamat Jalani Pembedahan Supernumerary Mesiodens Tooth - “Dia Mengadu Tak Selesa Sejak…”
Aktres jelita, Rozita Che Wan memaklumkan anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana, dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan gigi Supernumerary Mesiodens Tooth di hospital pakar hari ini.
Katanya yang mesra disapa Che Ta, Aaisyah yang akan genap sembilan tahun November depan lebih banyak tidur dan berehat selepas menjalani pembedahan yang dikendalikan tiga orang doktor itu.
“Ikutkan sejak beberapa bulan lalu, dia (Aaisyah) sering mengadu tak selesa di bahagian giginya.
“Jadi selepas dipermudahkan, pembedahan berjaya dilakukan hari ini. Menurut doktor, kes seumpama ini agak jarang terjadi iaitu kewujudan gigi lebih di bahagian tengah.
“Kata doktor lagi, secara umumnya di dalam dunia ini ada sekitar 0.5 hingga 3 peratus kes seumpama itu,” katanya.
Tambah Che Ta lagi, pembedahan itu perlu untuk membolehkan pertumbuhan gigi kekal baharu yang lain.
“Masa melakukan CT Scan baru-baru ini, baharu nampak masalah yang timbul. Apabila dilakukan X Ray memang wujud masalah itu,” katanya.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu dalam masa sama bersyukur kerana anak perempuannya kuat semangat.
“Terima kasih yang mendoakan kesihatan dan keadaannya,” kata isteri kepada Zain Saidin itu.
Terdahulu Che Ta memuat naik beberapa keping gambar Aaisyah di Instagram sebelum dan selepas menjalani pembedahan Supernumerary itu.