Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Abang Long Fadil 3 Bakal Hangatkan Pawagam Bermula 8 September Depan

Izwan Isa 02/08/2022 | 10:20 MYT

Francais komedi aksi blockbuster nombor 1 Malaysia, Abang Long Fadil kini bersedia menggegarkan pawagam Malaysia, Singapura, Brunei dengan sekuel terbaharu, Abang Long Fadil 3.

Diterbitkan oleh rumah produksi tersohor, Skop Productions dan Astro Shaw, Abang Long Fadil bakal menemui penonton di pawagam bermula 8 September depan.
Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, penonton masih setia untuk keluar ke panggung wayang, cuma mereka lebih cenderung menantikan filem yang baik dan berkualiti.
“Kejayaan filem tempatan itu juga secara tidak langsung turut memberi nafas baharu buat pengkarya untuk melangkah lebih jauh. Kini tiba giliran Astro Shaw dan Skop Productions kembali selepas dua tahun dalam percaturan filem tanah air dan bersedia untuk mencipta fenomena tersendiri menerusi Abang Long Fadil 3,” katanya.
Di samping itu, Jastina turut menjelaskan yang pihak Astro Shaw juga merangka strategi pemasaran yang kreatif bagi menambahkan lagi keterujaan penonton dalam menantikan filem francais popular ini pada bulan hadapan.
“Sebagai permulaan, kami telah melancarkan kempen ‘Sama Tak Serupa’. Selain itu, kami rasa amat berbesar hati turut berpeluang menjalinkan kolaborasi bersama penaja-penaja, di samping kerjasama erat bersama pemamer dan mendapat sokongan padu daripada station radio Melayu dan Inggeris Astro, serta portal hiburan nombor satu, Astro Gempak.
“Kami mengharapkan Abang Long Fadil 3 yang merupakan pembuka untuk Astro Shaw selepas dua tahun, dapat membantu mengubah momentum industri perfileman ke arah satu paradigma yang baru,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Skop Productions, Datuk Yusof Haslam turut melahirkan rasa gembira kerana sekuel terbaharu daripada francais pecah panggung itu akan menemui penonton tidak lama lagi.
“Kami percaya kini adalah masa yang tepat untuk tampilkan Abang Long Fadil 3 dan menambahkan lagi keyakinan kami apabila melihat sambutan luar biasa penonton serta peminat terhadap filem tempatan baru-baru ini.
“Abang Long Fadil 3 menjanjikan kelainan di mana ia mempersembahkan arah tuju yang lebih mantap. Peminat francais Abang Long Fadil dapat melihat transisi karya ini daripada filem pertama pada tahun 2014, kemudian sekuel pada tahun 2017 sehingga filem terbaru ini. Malah, kemunculan watak-watak baru juga turut menyerikan dan memberi nafas baru kepada francais ini. Kami harap kehadiran Abang Long Fadil 3 pada 8 September ini mampu merancakkan lagi industri perfileman Malaysia,” ujarnya.
Sesi jelajah Abang Long Fadil 3 yang turut dimeriahkan dengan barisan pelakon bakal diadakan pada 9 hingga 11 September di Selatan manakala 16 hingga 18 September di Utara. Maklumat lanjutnya mengenai jelajahi boleh ikuti menerusi Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw.
Sementara itu, lagu tema bagi filem Abang Long Fadil 3 yang berjudul Payung dinyanyikan oleh Zizan Razak dan juga Elizabeth Tan. Peminat boleh turut serta dalam dance challenge lagu Payung di platform TikTok dan buat peminat bertuah yang terpilih berpeluang untuk hadir ke majlis Mega Fans Screening Abang Long Fadil 3 pada 7 Ogos nanti.
Filem ini juga telah mendapat tajaan daripada KLCC selaku penaja lokasi bagi Malam Gala Abang Long Fadil 3 di kawasan Esplanade dan di selaras bersama TGV Cinemas. Selain itu, Suria KLCC turut menaja melalui platform promosi LED Skrin di Concourse, digital outdoor screen di Pintu Masuk Ampang, papan tanda digital di sekitar mall Suria KLCC, perkongsian promosi di media sosial dan eDMs (mesej elektronik melalui emel).
Filem Abang Long Fadil 3 menyaksikan Fadil kembali dengan misi terbaru yang lebih berprofil tinggi. Fadil perlu menjatuhkan konspirasi jahat Chow Han, namun dalam pada yang sama Fadil diburu oleh King Cobra atas dendam dahulu.
Diarahkan oleh Syafiq Yusof, filem Abang Long Fadil turut menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Zizan, Johan, Elizabeth Tan, Maya Karin, Datuk AC Mizal, Shuib, Kazar, Ozlyn Wati, Tania Hudson, Joey Daud, Jay Iswazir, Daniella Sha, Khir Rahman, dan Siraj.

;