Hiburan

Acong Akui Sweet Child Semakin Dikenali Selepas Sertai GegarVaganza

Ahmad Shah
29/04/2016
03:59 MYT
Sponsor Banner
Acong Akui Sweet Child Semakin Dikenali Selepas Sertai GegarVaganza
Vokalis Sweet Child, Acong, bersyukur nama kumpulannya semakin dikenali selepas menyertai program realiti GegarVaganza musim kedua.
Acong ketika ditemui Astro Gempak berkata, dia amat berbangga kerana berjaya membawa nama Sweet Child menerusi program tersebut.
"Kumpulan Sweet Child tidak pernah bubar walaupun selama 16 tahun kami tidak tampil dengan produk terbaru.
"Sebenarnya masih ramai yang tidak tahu bahawa saya sebenarnya adalah anggota kumpulan itu, terutama generasi baru.
"Mereka lebih kenal saya sebagai pelakon dan pelawak sebab itu saya lebih selesa menggunakan nama Acong Sweet Child.
"Secara tidak langsung saya dah memperkenalkan Sweet Child kepada mereka," katanya ketika ditemui pada majlis perlancaran single terbaru kumpulan tersebut baru-baru ini.
Berbicara mengenai single terbaru Sweet Child berjudul 'Lepaskanmu', Acong memberitahu lagu tersebut sudah siap kira-kira dua tahun lalu namun tertangguh kerana dia menyertai GegarVaganza.
"Sebenarnya lagu itu dah siap lebih kurang dua tahun dan lagu tersebut adalah hasil ciptaan saya sendiri.
"Kami tidak menyesal tangguhkan proses rakaman lagu itu kerana kami rasa ini merupakan masa yang sesuai untuk memperkenalkan lagu tersebut.
"Alhamdulillah, ada hikmahnya bila masuk GegarVaganza kerana peminat-peminat dah mula bertanyakan mengenai kumpulan kami.
"Untuk mempromosikan lagu ini, saya tangguh dulu kerjaya lakonan untuk memberikan fokus sepenuhnya terhadap Sweet Child," jelasnya.
Terdahulu, Sweet Child yang dianggotai oleh Acong(vokalis), Yem (keyboard), Aalan (gitar), Ijan (bass) dan Pet (drum) kumpulan yang amat dikenali pada tahun 90-an.
Antara lagu popular mereka ialah Tinggal Sayang Tinggallah Pujaan, Mainan Perkasihanmu dan Terlarang Itu Godaan.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar