Laman Utama
Ada Babak Signatur Kereta Terbalik, Syafiq Yusof Bukan Nak Tunjuk Hebat Arah Polis Evo 3
Syafiq Yusof, sutradara muda namun berprofil tinggi diamanahkan untuk menuntaskan kredibilitinya dalam trilogi Polis Evo iaitu Polis Evo 3.
Pertama kali bergabung dengan keluarga besar Polis Evo, Syafiq dengan rendah diri mengakui terkejut saat pertama kali dilamar.
Namun, sebaik kata setuju diberikan, dia mengaku kerja yang diberikan buat naskhah ini adalah arahan terbaik yang pernah dilakukannya sepanjang menjadi sutradara.
“Saya terharu saat pertama kali ditawarkan mengarahkan filem ini. Meskipun ada tekanan, namun semuanya berjalan dengan lancar.
“Saya boleh katakan dengan cara penggambaran yang sistematik, ia memudahkan kerja saya. Sebagai sutradara, saya paling puas hati mengarahkan Polis Evo 3,” katanya sewaktu ditemui pada sidang media pelancaran filem Polis Evo 3 di Six In The City, Petaling Jaya, Selangor.
Ditanya bagaimana dia mempersembahkan Polis Evo 3 berbanding dua naskhah sebelum ini yang telah menerima kutipan pecah panggung, Syafiq menegaskan dirinya bukan mahu menunjukkan naskhah arahan siapa yang lebih hebat.
“Saya ambil pendekatan ini bukan soal pengarahan siapa atau saya hebat, namun ia tentang mempunyai keunikan tersendiri.
“Misalnya saya, babak kereta terbalik mesti kena ada,” katanya sambil ketawa.
Terdahulu, Polis Evo diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar dan Polis Evo 2 diarahkan oleh Joel Soh dan Andre Chiew.
Polis Evo 3 yang dibintangi Shaheizy Sam, Zizan Razak, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish dan ramai lagi menjalani penggambaran selama 48 hari pada tahun 2019 lalu.
Filem yang diterbitkan oleh tiga gergasi dunia hiburan iaitu Astro Shaw, Skop Productions dan TGV Pictures ini akan ditayangkan bermula 25 Mei 2023.