Hiburan
“Ada Lirik Yang Ditukarkan Kepada Bahasa Melayu” – Hadiah Gfriend Untuk Peminat Malaysia Esok
Kumpulan K-Pop GFriend akui tidak sabar untuk bertemu dengan peminat Malaysia di konsert jelajah 2019 GFRIEND ASIA TOUR [GO GO GFRIEND!] esok.
Yerin berkata mereka bakal membuat persembahan istimewa khas buat Buddy (nama fandom) Malaysia.
“Ada diantara lirik lagu kami yang ditukarkan kepada Bahasa Melayu, harap peminat semua gembira dengan hadiah daripada kami,” ujarnya.
GFriend ditemui pada sidang media konsert jelajah 2019 GFRIEND ASIA TOUR [GO GO GFRIEND!] yang berlangsung di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada Jumaat.
Tambah Yuju pula, dia terharu melihat peminat sanggup menunggu ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
“Perjalanan memakan masa selama 6 jam 30 minit namun tidak begitu dirasai kerana saya tidak sabar untuk bertemu dengan Buddy Malaysia.
“Saya juga terkejut dan tak sangka sebaik sahaja tiba di KLIA, ramai peminat sudah menunggu dan menyambut kami,” ujarnya.
Kunjungan pertama GFRIEND ke Malaysia dibawakan khas oleh pihak penganjur, Macpiepro.
GFRIEND yang dianggotai oleh Sowon, Yerin, Eunha, SinB, Yuju dan Umji itu ditubuhkan pada tahun 2015 oleh syarikat hiburan Source Music.
2019 GFRIEND ASIA TOUR [GO GO GFRIEND!] Kuala Lumpur bakal berlangsung esok bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam bermula jam 6 petang.
Tiket konsert dijual pada harga RM168 (Zon Hijau), RM238 (Zon Kuning), RM338 (Zon Merah), RM398 (Zon BUDDY) dan RM548 (Zon BUDDY Pakej VIP).