Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Ada Nilai Sentimental, Kugiran Masdo Enggan Jual Ratusan Blazer & Sut - “Masih Simpan Yang Pertama Kali Kami Miliki”

Mya Amri 09/03/2024 | 09:00 MYT
Kumpulan Kugiran Masdo memilih untuk menyimpan ratusan helai koleksi blazer dan sut yang pernah digayakan ketika mengadakan konsert atau acara pentas sebagai kenangan.
Menurut vokalisnya, Ali Sariah, walaupun pernah mendapat permintaan daripada peminat yang mahu membeli pakaian yang digayakan namun mereka
sepakat untuk tidak menjualnya kerana mahu dijadikan koleksi peribadi.
“Jumlah sut atau blazer yang kami ada dari awal kemunculan dahulu sehingga sekarang, mencecah ratusan helai juga.
“Ada peminat yang tanya sama ada kami mahu menjual sut-sut sebagai ‘prelove’ (pakaian terpakai).
“Tapi kami sebenarnya tidak bercadang untuk menjualnya kerana ada sesetengah pakaian yang kami pernah pakai mempunyai nilai sentimental tersendiri,” jelasnya.
Masdo berkata demikian ketika ditemui semasa sidang media Festival Aku, Muzik & Kamu baru-baru ini.
Putu Ceri yang juga merupakan pemain bass Masdo berkata, dia membayangkan jika ada pihak yang menghargai karya mereka dan mahu mewujudkan sebuah galeri Istimewa untuk Kugiran Masdo suatu hari nanti.
“Manalah tahu bila kami tua nanti, kalau ada pihak yang menghargai karya kami dan mahu wujudkan sebuah galeri.
“Boleh juga pamerkan koleksi-koleksi Kugiran Masdo termasuk pakaian yang pernah kami pakai. Kami pun masih ada simpan lagi blazer pertama yang kumpulan kami miliki.
“Sekurang-kurangnya boleh dijadikan kenang-kenangan pada masa akan datang, walaupun sudah tidak muat lagi,” katanya berseloroh.
Dalam perkembangan lain, Kugiran Masdo yang terdiri daripada Ali Sariah, Putu Ceri dan Asmawi (gitaris) ini bakal terlibat dengan Festival Aku. Muzik & Kamu di Johor Bahru pada 8 Jun kelak.
Selain Masdo, Festival Aku. Muzik & Kamu yang berlangsung selama 10 jam tanpa henti itu, turut menampilkan persembahan hebat daripada kumpulan Exist, Saixse, IAMNEETA dan ratu rock negara, Ella.
Festival berkonsepkan muzik Nusantara itu juga turut menampilkan persembahan daripada penyanyi terkenal dari Singapura iaitu Imran Ajmain dan Indonesia yang diwakili oleh Afgan dan Feel Koplo.
#Kugiran Masdo #Masdo #Blazer #Sentimental #Sut
;