Laman Utama
Adele, Charlie Puth Minta Peminat Berhenti Lakukan Trend Baling Barang Atas Pentas
Sudah seperti menjadi satu budaya tidak sihat apabila ada dalam kalangan peminat yang suka membaling barang ke atas pentas atau kepada artis yang membuat persembahan sehingga boleh mendatangkan kecederaan.
Malah ada barangan yang dibaling kepada penyanyi disifatkan sebagai tidak masuk akal seperti seorang peminat membaling abu mayat yang dibungkus sewaktu Pink membuat persembahan baru-baru ini.
Penyanyi Harry Styles juga pernah terkejut selepas dibaling dengan coli sewaktu membuat persembahan.
Selain itu Bebe Rexha dan Kelsea Ballerini juga menjadi mangsa peminat yang tidak bertanggungjawab apabila terkena objek yang dibaling ke arah mereka.
Melihat kepada sikap kurang menyenangkan itu, penyanyi tersohor Adele meminta agar para peminat berhenti membaling objek atau barang ke atas pentas.
“Jika anda berani, balinglah sesuatu kepada saya, jika anda berani,” ujarnya sambil berjenaka sewaktu membuat persembahan baru-baru ini.
Namun Adele kemudian bercakap dalam nada serius meminta agar peminat tidak membaling baring.
“Berhenti membaling barang atau objek ke arah artis,” katanya seperti dilaporkan BBC.
Selain Adele, Charlie Puth turut melahirkan kebimbangan dengan budaya membaling barang ke arah artis yang disifatkannya sebagai kurang bermoral dan berbahaya.
“Tolong akhiri budaya membaling barang ke arah artis di pentas. Ini sangat tidak sopan dan berbahaya. Tolong nikmati sahaja muzik yang saya persembahkan,” kata Puth.