Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Adira Bernikah Di Songkhla, Status Isteri Kedua Tidak Beri Masalah

Ahmad Shah 22/12/2015 | 04:43 MYT

Penyanyi Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 24, mengaku berkahwin dengan ahli perniagaan Datuk Seri Adnan Abu selepas tiga minggu berkenalan.

Adira turut mengesahkan telah bernikah dengan ahli perniagaan berusia 37 tahun itu di Songkhla, Thailand beberapa minggu lalu.
Menurut Adira, dia terpaksa melangsungkan perkahwinan di negara jiran kerana berhadapan dengan beberapa masalah, termasuk urusan dokumentasi kedua-dua belah pihak.
“Kami mengambil keputusan bernikah selepas hanya tiga minggu berkenalan. Jadi, agak sukar bagi pihak saya dan suami untuk menyediakan pelbagai dokumen yang diperlukan di Malaysia, apatah lagi perkahwinan kami membabitkan poligami.
“Cara terbaik adalah berkahwin di negara jiran. Ya, saya kini sudah menjadi isteri orang dan status sebagai isteri ke­dua tidak memberi masalah kepada diri saya,” katanya kepada wartawan Utusan Malaysia.
Desas desus perkahwinan penyanyi Ombak Rindu ini mula hangat diperkatakan minggu lalu apabila seorang wanita yang dikenali sebagai Datin Red, telah memuat naik satu status di laman sosial yang memaklumkan bahawa penyanyi berkulit putih melepak ini sudah menjadi madunya.
Tanpa memaklumkan secara terperinci, Datin Red hanya menjelaskan bahawa dia dan Adira kini berkongsi suami, dalam status yang disiarkan pada 16 Disember lalu.
Bagaimanapun ketika itu, Adira hanya mengambil pendirian untuk mendiamkan diri kerana percaya belum masa untuk dia berterus terang kepada masyarakat akan status sebenar dirinya.
“Sekarang ini, setelah lebih tiga minggu berkahwin, saya ambil keputusan untuk umumkan cerita sebenarnya bahawa memang benar saya sudah berkahwin. Saya tidak kisah dengan apa juga tanggapan orang kerana apa yang penting perkahwinan kami ini mendapat restu daripada seluruh keluarga.
“Saya pilih untuk menunggu pihak satu lagi (suami) yang bersuara dahulu. Dan bila sudah dapat lampu hijau daripada suami, saya kongsi perkara ini dengan semua orang,” katanya.
Menafikan keputusan berkahwin dibuat dalam keadaan tergesa-gesa ekoran kecewa selepas putus tunang beberapa bulan lalu, Adira percaya dengan ketentuan jodoh yang telah diatur oleh Yang Maha Esa.
“Saya tidak membuat keputusan untuk berkahwin dan menjadi isteri kedua kerana patah hati dengan apa yang berlaku sebelum ini. Soal putus tunang itu persoalan lain dan saya tidak lagi mengingatinya. Saya yakin ini jodoh yang sudah ditentukan dan saya terima dengan hati yang terbuka meskipun perkenalan dengan suami amat singkat sekali,” katanya.
Adira sebelum ini pernah bertunang dengan Shahrul Nasrun Kamarudin, bagaimanapun putus pada April lalu.

Olahan Semula: Hafiza Kamarudin
Sumber: Utusan Online

#Kahwin #Kontroversi #Adira #Kahwin
;