Ah Sudah, Netizen Samakan Pelakon Squid Game Dengan Nadhir Nasar! Nama Hamid Gurkha Pun Kena Petik?
Selain permainan yang dikatakan agak ngeri, rata-rata penonton turut terpana dengan beberapa watak dalam drama tersebut.
Antaranya termasuklah Jung Ho Yeon yang viral selepas penonton mengetahui dia sebenarnya seorang supermodel.
Susulan itu, ramai yang memuat naik gambar pelakon tersebut di media sosial.
Pun begitu, nama pelakon baru yang juga Hero Remaja 2020 Nadhir Nasar secara tiba-tiba muncul apabila ada netizen menyamakan wajahnya dengan Ho Yeon.
Menerusi satu posting di Twitter, seorang individu secara berseloroh bertanya sama ada wanita yang bermain di Squid Game itu adalah Nadhir Nasar.
Posting berkenaan kemudian mula mendapat perhatian ramai apabila kebanyakan netizen bersetuju dengan pendapat tersebut.
Anda boleh lihat posting tersebut di bawah.
nadhir nasar ke ni https://t.co/iLtphj0tBS— brgsjks ? (@brgsjks) September 21, 2021
Sementara itu, selain Nadhir, nama beberapa pelakon veteran juga ‘dipetik’ netizen untuk membawakan watak warga emas Oh II Nam atau peserta bernombor 001.
Ada yang merasakan Datuk Jalaluddin Hassan paling sesuai membawa watak tersebut dan tidak kurang juga yang mahukan Datuk Rahim Razali.
Malah, ada juga yang sepakat untuk memilih Hamid Gurkha untuk membawa karakter hebat itu.
Sekadar info, Squid Game yang ditayangkan di Netflix mengisahkan tentang perjuangan 456 peserta selepas diundang untuk menyertai pertandingan misteri bernama Squid Game.
Mereka perlu bersaing dengan serangkaian permainan kanak-kanak tradisional yang penuh dengan liku-liku sehingga membahayakan nyawa mereka hanya untuk mendapatkan hadiah berupa wang tunai bernilai RM162 juta.
Untuk makluman, Squid Game merupakan permainan kanak-kanak tradisional rakyat Korea pada zaman 70an - 80an dan permainan ini melibatkan fizikal.
Terdapat dua pihak iaitu penyerang dan bertahan. Permainan ini dinamakan Squid Game kerana pemain akan melukis pelbagai bentuk geometri atas tanah (bulat, segi tiga, petak) yang menghasilkan bentuk seakan Sotong.