Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Aina Abdul Masuk Gimnasium, Target Kurangkan Berat Sebanyak 7KG Menjelang Konsert Di MPO

Izwan Isa 27/03/2024 | 09:55 MYT

Penyanyi yang turut bergelar komposer dan penulis lagu, Aina Abdul sedang dalam proses untuk mengurangkan berat badannya sempena konsert bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) yang bakal diadakan di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC pada 10 dan 11 Mei depan.

Aina menjelaskan, tujuan dia mengambil keputusan untuk menurunkan berat badan adalah disebabkan tuntutan stamina yang tinggi ketika menyanyi selain mahu menjaga stamina pada hari persembahan kelak.

Bersenam di bulan Ramadan

“Saya mahu turunkan banyak lagi berat menjelang konsert nanti. Justeru, sepanjang bulan Ramadan, saya masih bersenam dan pergi ke gimnasium.

“Seperti kebiasaan, saya melihat persembahan konsert sebagai satu hal yang besar dan saya perlu menjaga stamina agar prestasi persembahan berada pada standard yang diinginkan.
“Tambahan pula, lagu-lagu bernada tinggi jadi soal stamina dan kesihatan perlu dititikberatkan,” katanya kepada Gempak.
Aina berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama media yang diadakan di Hyatt Place Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Melanjutkan bicara, Aina merancang untuk menurunkan sekitar 7 kilogram lagi hingga mencapai berat badan yang ideal.

7 Kilogram

"Kalau ikutkan ukuran tinggi, saya mahu turunkan 7 kilogram lagi. Saya rendah, sekitar 150 sentimenter. Jadi kalau ikut ketinggian saya ini, berat sebelum ini saya sudah dikategorikan sebagai overweight. Kalau berat sekarang... menuju ke 50 kilogram.

“Jujurnya, agak sukar untuk turunkan berat badan sebagai penyanyi. Hal ini kerana, saya akan elak makan sebelum persembahan dan hanya akan makan makanan berat selepas persembahan. Selalunya lewat malam baru makan. Ternyata rutin ini bukan saya sahaja, tetapi artis lain juga begitu.
“Pernah juga diet tanpa bersenema, tetapi saya rasa seperti tiada ‘sokongan’ pada tubuh dan suara menjadi semakin nipis. Jadi, saya tukar cara untuk turunkan berat badan dengan bersenam dan mengangkat berat,” katanya lagi.
Aina turut menjelaskan yang perasaannya kini bercampur baur menjelang konsert perdananya bersama MPO.

Gementar

"Macam tak percaya dan takut juga nak menyanyi di MPO. Maklumlah, menyanyi bersama okestra berbeza dengan persembahan lain. Jadi saya sedikit nervous.

"Saya turut diingatkan oleh konduktor untuk menyanyi set lagu di MPO nanti bukan seperti yang pernah saya bawakan sebelum ini. Saya perlu lebih tumpukan perhatian di setiap nada dalam lagu," ujarnya lagi.
Aina bakal menyampaikan sebanyak 16 buah lagu pada konsert tersebut yang kebanyakkan dipilih daripada album sulungnya berjudul Imaji. Antara lagu yang akan dibawa adalah Puas Sudah, Sesal, Kamu dan Kejam.

ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul Berkonsert Di DFP Pada 10 & 11 Mei, Ini Apa Yang Ainations Boleh Jangka Nanti ...

ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul Jadi Akar Pokok, Ada Daun Gugur, Terapung Ke Udara... Ini Makna Tersirat Di Sebalik Persembahan AJL38

#Turunkan Berat Badan #Aina Abdul #Gimnasium #Nyanyi #MPO #7 Kilogram
;