Laman Utama
Aisha Retno Tepis Dakwaan Punca Keretakan Hubungan Amylea & Farouk Roman - “Gosip Tu…”
Penyanyi Aisha Retno menolak dakwaan yang mengatakan dirinya adalah punca keretakan hubungan komposer Farouk Roman dan penyanyi Amylea Azizan.
Aisha berkata, dia sendiri tidak sedar tentang kewujudan gosip liar tersebut dan mengesahkan dakwaan berkenaan tidak benar sama sekali.
“Bukan… gosip itu salah dan tidak sahih. Tidak ada apa-apa (hubungan). Sebab abang Farouk pun sudah mempunyai kekasih hati dan individu tersebut bukan saya.
“Biasalah, interpretasi orang. Saya anggap dia sebagai abang sahaja,” katanya kepada Gempak.
Menurut Aisha, gosip liar sebegini sama sekali tidak mengganggu kerjaya seninya yang baru dipacu selepas memenangi tempat ketiga program Big Stage 2022.
“Jujurnya tidak ganggu saya sama sekali. Saya pun baru je dengar gossip ni. Saya dan abang Farouk macam adik-beradik. Relationship saya dengan kak Amylea pun ok, dan dia sangat baik dengan saya,” ujar Aisha lagi.
Aisha merupakan penyanyi runut bunyi drama Takdir Yang Tertulis, iaitu Cinta Denganmu, ciptaan Farouk Roman dan juga Amylea.
Menerusi laporan media tempatan, ikatan cinta Farouk Roman dan Amylea Azizan putus di tengah jalan selepas lebih 10 tahun menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih.
Kisah putus cinta mereka mula menjadi bualan sejak 2020, namun, masing-masing mengambil sikap profesional ketika berurusan.
Tahun lalu, Farouk akhirnya mengakui telah berpisah dengan Amylea, tetapi enggan berkongsi sebab mengapa mereka tidak meneruskan hubungan cinta bersama.