Laman Utama
Ajai Dedah Ayu, Nourul Dah Berbaik Semula! - "Dua-Dua Dah Dewasa..."
Penyanyi dan komposer terkenal tanah air Ajai memberitahu hubungan antara anaknya, Ayu Nazirah dan bekas isteri, Nourul Wahab telah baik seperti sedia kala.
Menurut Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, 48, anak-beranak itu sudah berhubung dan saling memohon maaf antara satu sama lain.
“Mereka dah berbaik. Ayu maklumkan kepada saya dia dah hubungi mamanya. Mereka dah bermaafan.
“Alhamdulillah hubungan mereka dah okey. Biasalah kisah ibu terasa ini. Tiada apa yang serius pun,” ujarnya.
BERITA TRENDING: Pernah Kena 'Cuit', Baby Shima Sindir Zhiddin Aziz 'Terpaling Ikon'!
Dalam pada itu, Ajai mendedahkan bahawa dirinya tidak pernah masuk campur tentang salah faham yang berlaku antara Nourul dan Ayu sebelum ini.
“Bagi saya dua-dua dah dewasa dan boleh buat keputusan sendiri. Kalau bab gaduh antara ibu dan anak ini saya dah faham sangat.
“Mereka darah daging. Mesti akan berbaik kalau ada masalah,” katanya.
Terdahulu, konflik antara dua beranak itu mengundang perhatian ramai pihak setelah Nourul memuat naik entri di Instagram berkata dirinya umpama ‘mati’ selepas membesarkan anaknya bersama Ajai.
Untuk info, Ajai pernah mendirikan rumah tangga bersama Nourul pada tahun 1996 namun berpisah pada 2006. Pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan, Ayu Nazirah.