Berita

AJL 35 Tukar Lokasi, Tiada Penonton & 12 Finalis Tandatangan Akujanji Persembahan

Maliah Surip
10/01/2021
11:55 MYT
Sponsor Banner
AJL 35 Tukar Lokasi, Tiada Penonton & 12 Finalis Tandatangan Akujanji Persembahan
Buat pertama kalinya dalam sejarah 35 tahun penganjuran, final Anugerah Juara Lagu ke 35 (AJL35) akan berlangsung dalam norma baharu.
Menghormati semua langkah yang disarankan kerajaan dan mengikut prosuder kerja selamat atau SOP yang ditetapkan, AJL 35 akan dianjurkan tanpa penonton pada 7 Februari 2021.
Tidak hanya dianjurkan tanpa penonton, AJL35 yang sebelumnya diumumkan akan bersiaran dari Axiata Arena Bukit Jalil akan dibawa ke lokasi lain.
"AJL35 pada tahun ini sangat berbeza. Pertama kali ia akan bersiaran tanpa penonton. Lokasinya juga bukan di Axiata Arena Bukit Jalil. Tapi akan dilangsungkan di Dewan MBSA Shah Alam, Selangor," ujar Penerbit EKsekutif AJL35, Nurhul Huda dalam sidang media virtual AJL35 yang dibuat petang tadi.
Menurut Huda, penukaran lokasi dibuat berdasarkan kapasiti kru yang terlibat dengan anugerah berprestij yang telah dikurangkan.
"MBSA menjadi lokasi yang sesuai untuk penganjuran final AJL35 kerana ia akan berlangsung dengan kapasiti kru yang terhadap namun dalam suasana SOP yang sangat ketat. Begitupun, pihak produksi memberi jaminan, anugerah ini tetap akan berlangsung dengan meriah," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima/ Primeworks Studios, Dato' Khairul Anwar Salleh mengatakan tidak akan membuat spekulasi terhadap perkembangan situasi terkini di negara yang dijangka akan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan bermula minggu hadapan.
"Pihak kami tidak ingin membuat spekulasi tentang perkara yang belum berlaku. Jadi buat masa ini, kami kekal dengan perancangan asal iaitu AJL 35 akan berlangsung tanpa penonton dengan mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan.
"Sekiranya ada pengumuman terkini mengenai situasi sekarang (pandemik Covid 19), kita akan melancarkan plan B atau C, namun buat masa ini kita kekal dengan plan A," ujar Khai.
Huda menambah, pihak produksi mengelak untuk menjalankan AJL 35 secara online sepenuhnya demi menjaga kredibiliti dan prestij penganjuran anugerah.
"Kalau boleh kita akan elak untuk melakukan penganjuran secara online untuk mengekalkan prestij," ujar Huda.
Malah beliau mengatakan, pihak produksi sudah bersedia dengan akujanji yang wajib ditandatangi 12 finalis untuk mengelakkan kontroversi dalam persembahan terjadi pada tahun ini.
"Semua finalis akan diberikan surat akujanji dan wajib ditandatangani sebagai langkah mengelakkan sebarang kontroversi dalam tema persembahan seperti tahun sebelum ini.
"Fokus kami pada tahun ini juga lebih kepada menaikkan semangat rakyat Malaysia yang sedang dilanda pandemik Covid 19 dan banjir.
"Dengan itu tercetus idea sebuah lagu yang dicipta khas oleh Faizal Tahir dan rakan rakan yang berjudul Baik Semula sebagai sebuah lagu yang akan dimainkan sejak minggu depan sehingga malam final AJL 35 pada 7 Februari nanti," jelas Huda.
AJL 35 kelak akan dihoskan oleh tiga pengacara berprolifik iaitu Sherry Al Hadad, Awal Ashari dan Haziq Hussni sementara Shuk Sahar dan Sissy Iman dipertanggungjawabkan mengendalikan Karpet Merah AJL 35.
Instagram: @muzikmuzik_official
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar