Laman Utama
AJL 37: Persembahan Next Level Naim Daniel, Steady Nyanyi Dalam Keadaan Terbalik
Anugerah Juara Lagu 37 atau AJL 37 berlangsung hangat di Axiata Arena menyaksikan persaingan sengit dalam kalangan 12 finalis.
Antara yang menarik perhatian penonton pada malam berprestij tersebut adalah persembahan penyanyi Naim Daniel.
Naim Daniel menjadi finalis ketiga dalam anugerah yang menyaksikan dia mempertaruhkan lagu Mainan.
Tampil serba putih, Naim Daniel melakukan persembahan di luar kotak apabila menyanyi secara terbalik dalam keadaan tergantung!
Bukan hanya tergantung dengan kedua kakinya diikat kemas untuk satu atau dua rangkap lagu, tetapi penyanyi dan pelakon berusia 25 tahun itu berada dalam posisi terbalik sehingga selesai mendendangkan lagu tersebut.
Persembahan unik tersebut mendapat perhatian penonton di stadium serta di rumah. Ia dijangka membawa pulang kategori Persembahan Terbaik AJL 37 kerana berada pada tahap ‘next level’.
Namun penonton diingatkan agar tidak meniru aksi tersebut kerana apa yang dipersembahkan oleh Naim Daniel dilakukan dalam pengawasan profesional.
Mainan merupakan lagu yang digubah oleh Firdaus Rahmat, Omar K dan Mas Dewangga dengan lirik ditulis Arisz Ab Rahman.
Terdahulu Naim Daniel pernah dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) menerusi lagu Sumpah yang digarap bersama Omar K.