Laman Utama

"AJL Tak Relevan" - Joe Flizzow

Amri Hassan
12/05/2023
03:55 MYT
Sponsor Banner
"AJL Tak Relevan" - Joe Flizzow
Penyanyi hip hop popular Joe Flizzow mempersoalkan relevan penganjuran anugerah berkonsep pertandingan nyanyian seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) pada masa kini.
Jelas Joe, 43, konsep pertandingan sedemikian akan membuatkan industri muzik semakin mundur.
"Analoginya seperti saya minta kamu pergi ke satu galeri. Saya minta kamu senaraikan rating lukisan mana yang paling bagus. Bagaimana kamu tentukan? Sama seperti kamu menilai antara buah epal dan buah oren.
"Mereka ada cara untuk mengadili lagu dan memilih pemenang yang saya sendiri tak tahu bagaimana. Walaupun ketika saya menang AJL, saya pun tak tahu mengapa saya menang.

AJL seperti World Cup

"Bagi kebanyakan orang, AJL adalah World Cup tapi bagi saya ia hanyalah hari Ahad yang biasa. Saya tak pernah memahami konsep pertandingan nyanyian ini. Selepas 30 tahun, adakah ia masih relevan?" katanya yang ditemui ketika sidang media konsert Joe Flizzow, This Is Johan Live In Concert baru-baru ini.
Joe turut mempertikaikan kaedah pemarkahan dan kredibiliti juri yang dilantik untuk mengadili sesebuah pertandingan.
"AJL mengumpulkan banyak penyanyi dan para juri akan mengadili mereka. Sebenarnya, siapa kita untuk mengatakan penyanyi itu lebih baik daripada penyanyi yang lain?
"Ada juri yang tidak pernah mempunyai satu pun lagu hit yang dihasilkan dalam hidup mereka. Siapa mereka untuk cakap seseorang artis itu lebih baik?" ujarnya.

Persaingan tak sihat

Joe turut mendakwa pertandingan itu menampilkan suasana dan persaingan yang tidak sihat dalam kalangan penyanyi yang bertanding.
"Jika sesuatu pertandingan itu membunuh keseluruhan industri muzik, itu bukan cara yang baik untuk kita hasilkan muzik.
"Kita memerlukan satu majlis anugerah seperti Grammy. Kita tak perlukan artis bertanding sesama sendiri dan tentukan kemenangan antara lagu nasyid dengan lagu rock.
"Penyanyi yang bertanding juga tidak mahu berinteraksi antara satu sama lain di belakang pentas kerana masing-masing mahu fokus untuk menang.
"Ia berbeza dengan suasana di festival muzik. Kalau menang rasa bersalah dan tak menang pun rasa bersalah," katanya.
Pada AJL29, Joe bersama SonaOne menerusi lagu Apa Khabar dinobatkan sebagai juara, manakala tahun lalu mereka muncul naib juara menerusi lagu Satu Malam Di Temasik.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar