Laman Utama

Akan Merindui Teman Wanita, Ismail Izzani Sokong Shalma Eliana Sambung Belajar Di Luar Negara

Zulaikha Yusof
26/03/2021
06:20 MYT
Sponsor Banner
Akan Merindui Teman Wanita, Ismail Izzani Sokong Shalma Eliana Sambung Belajar Di Luar Negara
Penyanyi Ismail Izzani, 21, menyatakan teman wanitanya yang juga seorang penyanyi dan pelakon, Shalma Eliana akan melanjutkan pelajaran ke luar negara pada awal tahun hadapan.
Ismail atau nama sebenarnya Ismail Izzani Zainal Nazeri akui agak keberatan untuk melepaskan namun dia tidak ingin menjadi penghalang untuk Eliana atau lebih mesra disapa Yana mengejar cita-cita.
"Yana akan terbang ke Australia pada awal tahun hadapan. Sepatutnya dia pergi bulan Julai tahun ini tapi disebabkan situasi negara sekarang ia terpaksa ditangguhkan.
"Kalau tidak dia sepatutnya pergi belajar di United Kingdom tapi di saat akhir tukar di Australia. Jadi tidak terasa sangat perbezaan waktu itu di antara kami.
"Saya dah cakap dah kalau boleh nak suruh dia sambung belajar dekat sini sahaja.. tapi saya tidak akan menghalang cita-cita dia," katanya kepada Gempak.
Ismail ditemui ketika majlis pelancaran kolaborasi sulung Nabila Razali bersama Big Mouth di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Dalam pada itu, pelantun lagu Bidadari ini ingin adik kepada pengacara Shalma Ainaa merasai sendiri pengalaman menuntut ilmu di perantauan.
Katanya lagi, mereka juga sudah bersepakat untuk menggunakan masa yang ada ini untuk menggapai impian masing-masing sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
"Saya nak dia rasa sendiri pengalaman belajar di luar negara.. saya tidak dapat pengalaman itu sebab saya bukan orang yang jenis study.
"Sudah tentu saya akan merindui dia. Saya hormat dan akan sentiasa sokong apa yang dia buat sebab kami masing-masing bagi masa untuk teruskan impian serta cita-cita sendiri terlebih dahulu," katanya lagi.
Sebelum ini, anak kepada penyanyi era 1990-an, Datin Suliza Salam itu telah menghadiahkan sebentuk cincin berlian kepada pemilik nama Shalma Eliana Bruhanutheen sebagai tanda janji 'setia' pada Disember lalu.
Pasangan ini mula menjalinkan hubungan cinta sekitar tahun 2019 selepas Yana memilih lagu Ismail, Sabar sebagai lagu 'cover' pertamanya yang dimuat naik di laman YouTube.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar