Hiburan
Aktres Popular Indonesia, Ria Irawan Meninggal Dunia
Aktres popular Indonesia era 90-an, Ria Irawan disahkan meninggal dunia akibat kanser pada Isnin.
Memetik laporan Kompas.com, berita sedih itu dimaklumkan oleh suami Ria sendiri, Mayky Wongkar ketika dihubungi pemberita, lapor Astro Awani.
Ria, yang terkenal dengan filem Pelangi di Hatiku dan Berbagi Suami itu menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 4 pagi di Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo, Jakarta Pusat.
Menurut Mayky, isterinya yang berusia 50 tahun itu meninggal dunia akibat sel kanser yang kembali menyerang di beberapa bahagian badan isterinya.
Sebelum ini, Ria disahkan dijangkiti kanser pada 2009 dan disahkan sembuh pada 2014 menerusi rawatan kimoterapi.
Bagaimanapun pada Mac lalu, Ria dilaporkan dijangkiti semula sel kanser berkenaan di bahagian kepala dan paru-paru.
Jelas Mayky lagi, sel kanser berkenaan merebak dengan pantas sehingga menyebabkan Allahyarham terlantar di hospital tempatan itu.
Jenazah Ria akan disemadikan di Lebak Bulus, Jakarta Selatan.
Di persada perfileman Indonesia, Ria pernah memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik di Festival Filem Indonesia pada 2006 bagi filem Berbagi Suami dan Pelakon Pembantu Wanita Paling Digemari di Anugerah Filem MTV Indonesia (2006) untuk filem yang sama.
Sumber: Astro Awani