Hiburan
"Aku Jaga Macam Bayi, Tapi Ini Takdir Ilahi"- Penyanyi Zarith Sofia Tampil Mohon Maaf
Penyanyi Zarith Sofia Yasin yang ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kerana disyaki menyimpan anak beruang matahari, tampil membuat permohonan maaf.
Permohonan maaf secara terbuka itu dibuat menerusi Instagramnya yang dimuat naik sebentar tadi.
Menurut Zarith, tidak terdetik di hatinya untuk menyakiti haiwan berkenaan sebaliknya niat sebenar hanyalah untuk melindungi.
"Tapi ini takdir Ilahi, takpe bruno , kita pasti berjumpa lagi," katanya.
Jelasnya lagi, dia bukanlah seorang yang senang untuk bangun pagi, namun kerana beruang berkenaan, dia menjaganya seperti bayi.
"Aku bukan jenis bangun pagi, ke kelab malam cari rezeki tapi kerana kau, aku jaga macam bayi.
"Buat rakyat Malaysia yang dihormati terima kasih atas segala teguran yang diberi. Saya pohon sepuluh jari maaf kan lah kekhilafan saya ini," katanya.
Terdahulu Zarith ditahan di kondominumnya di Desa Pandan, Kuala Lumpur kira-kira jam 8 malam pihak Perhilitan membuat pemeriksaan di rumahnya.
Zarith kemudian disiasat kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa kebenaran Perhilitan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).