Laman Utama
“Aku Nak Tengok Anak Aku Jadi Artis” - Ajoi Jadikan Impian Arwah Ayahnya Sebagai Pembakar Semangat Big Stage 2022
Barangkali, nama Ajoi Zainal sudah cukup dikenali dalam kalangan pengguna media sosial. Masakan tidak, lelaki berusia 24 tahun itu sering memuat naik lagu-lagu cover di laman sosial, baik di Instagram mahupun di TikTok.
Keupayaannya menyanyi memang tidak boleh disangkal, sementelah Ajoi atau nama sebenarnya, Muhammad Qaidzul Zainal Abidin dipilih untuk menyertai pertandingan All Together Now yang berlangsung tahun lalu.
Nampaknya, rezeki Ajoi semakin murah selepas namanya tersenarai sebagai peserta program Big Stage 2022 yang bakal berlangsung pada 6 Februari depan.
“Jarak antara All Together Now dan Big Stage 2022 ini macam tak lama. Jadi, selepas habis All Together Now, saya diminta untuk sertai uji bakat bagi Big Stage 2022. Pada awalnya, saya tak letak harapan.
“Maklumlah, saya hanya buat cover lagu sedangkan peserta musim lalu semuanya sudah ada single. Jadi, apabila diberitahu berjaya lolos, saya berasa sangat bersyukur,” katanya kepada Gempak.
Ajoi berkata, kesempatan terpilih sebagai salah seorang peserta Big Stage 2022 akan digunakan sebaik mungkin, sungguhpun ada yang berpendapat suaranya mungkin menjadi senjata utama sewaktu pertandingan berjalan kelak.
“Saya tak nak bagi jawapan klise. Ya, suara saya merupakan senjata utama. Selain itu, persembahan dan penghayatan lagu juga boleh saya sifatkan sebagai senjata sampingan,” katanya yang ingin mencari kelainan dalam persembahannya nanti.
Dalam pada itu, Ajoi turut memberitahu yang kebolehan menghayati lagu datang kepadanya selepas ayahnya pergi menghadap Ilahi empat tahun lalu.
“Sejak arwah ayah pergi, rasa itu datang sendiri. Justeru, saya mahu bawa semangatnya dan cuba sehabis baik. Sebab arwah ayah sangat menyokong kerjaya seni saya. Dalam bahasa kasarnya, arwah ayah pernah berkata: ‘Aku nak tengok anak aku jadi artis’ dan kalimat itu akan saya ingat sampai bila-bila,” katanya lagi.
Melanjutkan bicara, Ajoi turut berharap dapat kekal lama dalam Big Stage 2022 supaya dia dapat menonjolkan potensinya sebagai seorang penyanyi versatil.
Selain Ajoi, peserta lain yang terlibat termasuklah Aisha Retno, Yazmin Aziz, Daniel Chuer, Elica Paujin, Lia Aziz, Megat Rahim, Sofiaa, Tuah Adzmi, Syafiq Abdilah (Brunei) dan Tegar Septian (Indonesia).
Big Stage 2022 bakal bersiaran bermula 6 Februari depan di Pusat Konvensyen, Antarabangsa Putrajaya (PICC) menerusi saluran Astro Ria (104).
***Gempak Most Wanted is back! Korang boleh mula mengundi artis kesayangan korang di sini
Selain itu, teruskan mengundi untuk Top5 Anugerah MeleTOP ERA 2021 di sini #YangFreshYangLegend
Saksikan AME 2021 pada 30 Januari ini secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di saluran Astro Ria, jam 9.00 malam.