Laman Utama
Akui Terlepas Pandang, Syatilla Melvin Mohon Maaf - "Saya Tak Ada Niat Apa-Apa Langsung"
Pelakon dan usahawan Syatilla Melvin tampil membuat permohonan maaf terbuka selepas memuat naik video transformasi wajah gelap menjadi cerah selepas menggunakan produknya.
Video yang tular itu mendapat kritikan netizen dan menyifatkan Syatilla tidak sensitif terhadap isu semasa biarpun kerap berlaku sebelum ini.
Kata Syatilla, 30, video terbabit sebenarnya bagi memberikan gambaran wanita yang tidak pandai menggunakan eyeliner.
"Saya tak nak buang masa, terus nak minta maaf kepada anda semua yang terasa hati dengan saya. Ya Allah, Ya Tuhanku, sejujurnya, demi Allah saya tiada niat apa-apa langsung pun.
“Video itu hanya ingin menunjukkan perempuan tak pandai pakai ‘eyeliner’. Perempuan yang pernah alami perkara atau situasi itu, mungkin mereka faham.
“Mungkin salah saya juga kerana saya terlepas pandang sensitiviti sesetengah pihak. Saya minta maaf sangat-sangat. Saya harap anda maafkan saya,” katanya.
Jelas Syatilla, dia enggan memanjangkan isu terbabit dan bertindak berdiam diri sebelum ini bagi mengelakkan kontroversi itu menjadi lebih panas.
"Jangan risau, mana yang kutuk saya dan cakap bukan-bukan, saya sudah maafkan.
"Kepada kawan-kawan wartawan, saya mohon maaf sebab tak respons sebab taknak keruhkan keadaan,” katanya.
Terdahulu, tindakan Syatilla memuat naik video transformasi itu hanya sekadar untuk meraih perhatian dan populariti.
Ramai yang meluahkan rasa kesal terhadap pandangan usahawan itu yang menunjukkan kulit cerah lebih cantik berbanding kulit gelap.
Malah, di Twitter, personaliti media sosial terkenal Nandini Balakrishnan beraggapan strategi pemasaran itu sudah tidak sesuai diguna pakai pada waktu sekarang.
"Kalau setakat nak jual bedak asas (foundation) banyak lagi jalan untuk market (pasarkan) kak oi. Tak usahlah blackface. Dan, orang pakai foundation bukan untuk jadi cerah tau," tulisnya.