Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Alami Batuk Berpanjangan, Suara Berkahak Akibat Masalah Sinus… Ezad Lazim Risau Konsert Dah Nak Dekat – “Doktor Maklum Makin Serius”

Khairil Khusyairi 06/11/2024 | 03:20 MYT
Penyanyi Ezad Lazim memaklumkan masalah sinus yang dialaminya sejak lima tahun lalu semakin teruk dan terdapat kahak dalam rongga hidung sehingga mengakibatkannya sukar bernafas sejak kebelakangan ini.

Doktor Maklum Makin Serius

Menurut Ezad atau nama sebenarnya, Mohd Rohaizad Mohd Lazim, dia ada berjumpa pakar untuk mendapatkan rawatan susulan dan dimaklumkan keadaan kesihatannya itu semakin membimbangkan.

“Saya dah alami sinus dari dulu lagi tetapi dua minggu kebelakangan ini saya risau sebab konsert dah nak dekat.
“Lebih lima tahun sudah saya alami, tapi kali ini agak teruk. Dah hampir sebulan batuk dan suara berkahak saya tak berhenti.

“Saya ada berjumpa pakar baharu, dan dimaklumkan makin serius. Ikutkan dahulu mereka sarankan untuk buat pembedahan tetapi saya tiada masa kerana banyak komitmen kerja.

“Bila jadi macam ini, pernafasan saya agak terjejas,” ujarnya kepada Gempak.

Ezad ditemui pada sidang media Umrah Langkah Seiringan Exists yang berlangsung di Petaling Jaya, Pada Selasa.

Terpaksa Tolak Job

Bakal menjayakan konsert Exists x Masdo pada Ahad ini, Ezad berharap dapat memberi persembahan yang terbaik demi kepuasan penonton.

“Untuk konsert pada hujung minggu ini, doktor juga sarankan untuk saya rehat. Sebelum ini saya banyak dapat tawaran show tetapi terpaksa tolak.

“Saya harap dapat beri 100 peratus, jika tidak 80 peratus pun tidak mengapa. Semangat itu ada dan Insya-Allah semoga dipermudahkan,” harapnya.

Buat Pembedahan Tahun Hadapan

Pelantun lagu Percintaan Ini itu turut memaklumkan dia akan menjalani pembedahan sinus pada awal tahun hadapan.

“Selepas berbincang dengan isteri, mungkin tahun hadapan akan buat pembedahan. Terpaksa berehat sekejap daripada sebarang show.

“Saya rasa saya perlu buat juga rawatan susulan itu untuk jangka masa lama sebab saya masih dalam bidang ini.

“Ia akan berterusan jika tak buat pembedahan, saya juga mencari ikhtiar lain untuk kembali sembuh,” kongsinya lagi.

#Ezad Lazim #Konsert #Exists #Sinus #Risau #Batuk Berpanjangan #Serius #Suara Berkahak
;