Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Alami Bengkak Susu, Ezzaty Abdullah Pesan Supaya Para Ibu Berhati-Hati - “Jangan Sampai…”

Izwan Isa 25/03/2022 | 04:50 MYT

Pelakon Ezzaty Abdullah baru sahaja menyambut kelahiran anak kedua pada 11 Februari lalu. Seperti ibu-ibu lain, pastinya kelahiran cahaya mata disambut dengan penuh syukur dan kasih sayang.

Namun, di sebalik kegembiraan mengelolakan zuriat baharu, Ezzaty memberitahu yang dia mengalami bengkak susu, yakni masalah yang boleh membawa kepada isu yang lebih besar jika tidak dirawat.
Baru-baru ini, menerusi kemas kini di Instagram, Ezzaty memberitahu dia mengalami demam yang teruk sebanyak tiga kali.
“Tiga kali demam menggigil satu badan sebab menahan sakit. Dah hujung-hujung berpantang ni masih kena lagi. Alhamdulillah semuanya ok. Sakit ni penghapus dosa kecil. Syukur tak perlu operate macam dulu,” katanya di Instagram.
Ezzaty turut menegaskan yang masalah bengkak susu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
“Para ibu di luar sana, bengkak susu bukan satu perkara yang boleh dibiarkan ye. Jangan sampai melarat dan bernanah, nanti kena operate, sakit sangat tau!
“Boleh google ‘breast abscess’ untuk tahu lebih lanjut. Saya bukan pakar, saya bercakap melalui pengalaman je. Sila rujuk pakar bila bengkak tak surut ye ibu-ibu,” tulisnya lagi.
Menerusi ruangan komen, ada segelintir pengikut Ezzaty turut berkongsi pengalaman menderita masalah yang sama.
“Saya kena masa dah lepas pantang, masa tu baby 5 bulan dah, sebab susu banyak. Time tu masih study kat USM. Kelas pack tak sempat nak pump susu. Terus demam panas, sakit kat breast sampai tak boleh drive, rasa mcm ada pisau tertikam kat dada. Lecturer terpaksa call husband datang ambil. Husband bawa baby, bagi baby menyusu, kurang sikit sakit pastu terus pergi klinik,” tulis seorang netizen.
“Sakit… serius sakit sangat. Saya penah kena operate sebab dah bernanah. Dugaan untuk ibu menyusu,” tulis seorang lagi pengikutnya.
Ezzaty mendirikan rumah tangga bersama pelakon Azwan Kombos pada 2016 dan dikurniakan anak pertama, Harum Dahlia yang kini berusia lima tahun.

#Anak #Azwan Kombos #Ezzaty Abdullah #Bengkak Susu
;