Berita
Alami Kerugian Besar, Sanrio Hello Kitty Town di Johor Bakal Ditutup!
Mungkin ini berita sedih kepada peminat Hello Kitty di Malaysia kerana Taman Tema Sanrio Hello Kitty Town di Johor bakal ditutup sepenuhnya pada 31 Disember ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Cik Liow Cai Tung, berkata, penutupan taman tema tersebut tidak akan memberi kesan ke atas jumlah pelancong yang datang ke negeri tersebut.
"Saya yakin penutupan itu akan hanya membawa kesan kecil kepada kempen Melawat Johor Tahun 2020 (bermula pada 1 Januari) dan tidak akan menjejaskan keseluruhan ketibaan pelancong ke negeri ini.
"Kerajaan negeri tidak bergantung kepada satu jenis produk pelancongan," katanya yang juga Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Johor.
Difahamkan, taman tema yang menelan belanja sehingga RM110 juta yang mula dibuka pada tahun 2012 itu, mengalami kerugian besar kerana masalah penjualan tiket.
Sementara itu menurut laporan Hangat.com pula, selepas beroperasi selama 7 tahun, Taman Tema Sanrio Hello Kitty ditutup kerana jumlah pengunjung yang datang tidak mencapai target mereka.