Laman Utama

“Alasan Betulkan Mikrofon” - Pernah Diraba, Sarimah Ibrahim Kongsi Pengalaman Terkena Gangguan Seksual

Mya Amri
20/09/2023
02:58 MYT
Sponsor Banner
“Alasan Betulkan Mikrofon” - Pernah Diraba, Sarimah Ibrahim Kongsi Pengalaman Terkena Gangguan Seksual
Pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim mendedahkan dirinya pernah menjadi mangsa gangguan seksual.
Kejadian tersebut berlaku semasa bertugas sebagai pengacara dalam sebuah rancangan suatu ketika dahulu.
Menurut Sarimah, individu ditugaskan untuk membaiki mikrofon yang disangkut pada bahagian hadapan bajunya itu sepatutnya menjalankan kerja dengan bertanggungjawab namun hal sebaliknya pula berlaku.
Individu tersebut merupakan salah seorang kru dan telah pun mendirikan rumah tangga pada ketika itu.
"Saya pernah terkena gangguan seksual semasa berkerja di sebuah set rancangan.
"Yang mana pada ketika itu individu berkenaan datang menghampiri wajah saya dengan alasan untuk membaiki mikrofon.
“Namun perkara sebaliknya pula berlaku apabila dia memegang dada saya. Saya terpaksa senyum seolah-olah seorang pengacara hebat... Dia pegang-pegang dan dia raba.
"Dia sempat puji saya cantik ketika itu dan dia juga kata kami akan terlihat sangat bagus jika bersama tapi dia telah berkahwin," katanya kepada media.
Sarimah berkongsi perkara itu semasa sidang media Siri Astro Originals terbaharu berjudul Riot bertempat di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Selasa.
Tambah Sarimah lagi, individu itu juga turut mengajaknya bercuti bersama, namun dia menolak tawaran berkenaan.
"Selepas itu dia kata saya tak boleh dapat sambung musim yang kedua, ketiga kalau saya tidak pergi bercuti bersamanya.
"Saya kata tak apa saya akan bayar percutian saya sendiri, awak pergi,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sarimah juga turut mendedahkan pernah diminta untuk memakai pakaian seksi di hadapan seorang pengarah.
"Ada sekali itu, seorang pengarah suruh saya masuk bilik model baju-baju yang akan saya pakai untuk rancangan tersebut.
“Dia beria suruh saya pakai baju seksi dan sudah siapkan baju-baju untuk saya pamerkan dalam bilik itu.
"Saya tanya kenapa saya kena pamerkan di dalam bilik ini bersama pengarah tersebut secara seorang diri, macam pelik saja.
"Saya kata tidak dan saya tak nak tunjuk saya punya lengan... Selepas itu saya tak dapat tawaran seterusnya tapi ada rezeki lain lagi selepas itu," kongsinya.
Bagaimanapun kata Sarimah, disebabkan kejadian itu kerap kali berlaku kepadanya membuatkan dia mempunyai kesedaran untuk menolak dan berkata tidak terhadap sesuatu tawaran.
Selain Sarimah, Riot dibintangi oleh Nelissa Nizam, Mia Sara Shauki, Tami Anadan, Aniq Durar, Rashidi Ishak, Iedil Dzuhrie Alaudin, Amanda Ang, Sue Tan, Nasir Alaydrus, Megat Adli, Uyaina Arshad, Rahim Omar dan Dee Dee A’iene.
Manakala Yang Berhormat Altimet, Suki Low dan Awal Ashaari pula muncul sebagai penampilan istimewa.
Riot diarahkan oleh Shamyl Othman serta ditulis oleh panel penulis berpengalaman termasuk Rafidah Abdullah, Suzanne Ong, Khairi Anwar dan Anwar Hadi.
Saksikan Riot menerusi Astro Premier (Saluran 410) bermula pada 22 September 2023, jam 9 malam setiap Jumaat.
Untuk pengetahuan, saluran Astro Premier adalah percuma untuk semua pelanggan Astro bermula 18 September 2023 sehingga 1 Februari 2024.
Strim episod baharu Riot secara awal menerusi On Demand setiap jam 12 tengah malam pada hari yang sama menerusi Astro Box dan Astro GO.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar