Laman Utama
“Alhamdulilah Rezeki, Walaupun Dah Jadi Duda…”- Fendy Caliph Busker Dapat Rumah Selepas 7 Tahun Penantian
Selepas tujuh tahun menunggu akhirnya hasrat pemain dram kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun, 30, memiliki rumah mampu milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), menjadi kenyataan, semalam.
Fendy menerima surat tawaran rumah berkenaan yang disampaikan sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kepadanya dalam satu pertemuan di bangunan DBKL.
Fendy berkata, dia sudah membuat permohonan rumah DBKL itu pada 2014 lagi dan ketika itu masih berstatus suami orang. Bagaimanapun, rezekinya jadi kenyataan pada tahun ini ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana dapat juga surat tawaran rumah yang diharap-harapkan selama ini. Terima kasih ya Allah atas rezeki dikurniakan walaupun sekarang saya dah jadi duda anak satu.
"Penantian yang sangat lama ini, sekarang dirasakan berbaloi. Terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan kerana sudi membantu dan prihatin terhadap masalah saya, selain Harian Metro yang menyiarkan kisah saya, baru-baru ini.
"Apapun, ketika mula-mula kisah saya tular pada Julai lalu, Tan Sri ada menghubungi saya bertanya khabar dan ambil peduli dengan kesusahan dialami. Saya tak sangka juga, beliau sudi menghulurkan bantuannya dan dengan surat tawaran rumah diterima, alhamdulillah penantian saya sudah berakhir," katanya kepada Harian Metro.
Ditanya kawasan rumah baharunya itu, Fendy berkata dia mendapat kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia Bandar Tun Razak seperti yang diinginkan kerana berdekatan dengan kemudahan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT).
"Insya Allah, jika semua urusan berjalan lancar mungkin saya sudah boleh masuk ke rumah itu dalam tempoh seminggu lagi. Sekarang, perasaan saya memang tak sabar nak berpindah ke rumah baharu bersama anak, Nur Azalea Zafirah, 6.
"Apabila sudah tinggal di rumah baharu itu, dapatlah saya menyusun semula aktiviti seni untuk menjana pendapatan seperti membuat persembahan nyanyian secara maya atau apa saja yang sesuai," katanya.
Terdahulu, menerusi laporan media semalam, Annuar memaklumkan hasil semakan DBKL mendapati memang Fendy sudah membuat permohonan rumah mampu milik itu sejak 2014 lagi.
Bagaimanapun, beliau berkata ketika itu masih tiada unit sesuai serta mempunyai kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan membuatkan permohonannya tidak memperoleh jawapan segera.