Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Alhamdulillah Allah Permudahkan” - Tak Sanggup Lihat Mangsa Banjir Sambut Ramadan Dalam Suasana Hiba, Achey Nekad Hulur Bantuan!

Hanafis Haris 19/04/2022 | 03:41 MYT

Atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab! Itu nilai murni ditonjolkan oleh pelawak Achey, 35, bersama syarikat pengendali umrah, RS Megatravel Sdn Bhd (RS Megatravel) menyantuni hampir 600 buah rumah yang terkesan dengan bencana banjir di Kemaman, Terengganu.

Tidak sanggup melihat penduduk di Kampung Bukit Mentok, Kemaman menyambut Ramadan dalam suasana hiba dan serba kekurangan, Achey dan RS Megatravel tampil menyumbangkan barangan keperluan rumah pada 22 Mac lalu.

Menurut Achey, inisiatif terbabit dilakukan bagi memberi senyuman kepada mereka yang kehilangan harta benda sekali gus meringankan beban yang ditanggung.

Menurutnya, dia berasa teruja apabila berpeluang turun padang ke Kemaman dan bertemu mangsa banjir yang masih ‘buntu’, lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadan.

“Kami faham beban yang terpaksa mereka tanggung dalam waktu sukar seperti ini, lebih-lebih lagi kehadiran kami ketika itu nak dekat dengan bulan Ramadan.

“Walaupun air banjir di kawasan Kampung Bukit Mentok sudah surut, tapi masih ramai yang memerlukan bantuan berikutan kawasan terbabit antara yang lambat untuk kembali pulih.

“Jadi kehadiran kami boleh dikatakan tepat kerana mereka menantikan bantuan daripada orang luar kerana sebelum ini kawasan terbabit tidak dibenarkan untuk masuk kerana keadaan yang belum pulih,” katanya yang merupakan rakan niaga dan jurucakap RS Megatravel.

Tambah Achey, dia bersyukur apabila urusan tersebut dipermudahkan Allah SWT dan mereka berjaya mengumpulkan barangan berupa tilam, sejadah dan telekung.

“Selain bertepatan dengan kehadiran Ramadan, kami menghulurkan bantuan pada penghujung Mac juga kerana kami menanti barangan yang mahu dihulurkan cukup terlebih dahulu.

“Alhamdulillah, Allah permudahkan perjalanan kami untuk membantu dan kami dapat memberikan 600 buah tilam, 300 unit sejadah, 300 pasang telekung dan banyak lagi,” kata Achey.

Sementara itu, menurut Pengarah Urusan RS Megatravel Sdn Bhd, Syamshul Aswad Jaafaar Siddik, jumlah bantuan yang dihulurkan bernilai lebih RM50,000.

“Syukur kerana nilai lebih RM50,000 ini dapat kami gunakan untuk membantu hampir 600 rumah yang terjejas.

“Selain memberikan servis terbaik bagi perjalanan umrah tanpa kos tersembunyi semenjak ditubuhkan pada 2021, aktiviti sebegini juga sebahagian daripada tanggungjawab korporat sosial (CSR) yang kami buat untuk menyalurkan ke arah kebajikan.

“Berpegang kepada nilai kemurahan hati, ketelusan dalam pengurusan dan perkhidmatan dan keprihatinan dalam menyantuni para jemaah umrah dan haji, aktiviti seperti ini juga selari dengan misi dan objektif RS Megatravel.

“Kami juga gembira apabila Achey selaku rakan niaga dan jurucakap RS Megatravel sama-sama turun padang membantu mereka yang memerlukan. Selain memberi fokus terhadap kepada bisnes kami iaitu pengurusan haji, umrah dan ziarah serta pelancongan Islamik patuh syariah, Insya-Allah selepas ini akan ada lebih banyak lagi aktiviti CSR yang bakal kami lakukan,” katanya lagi.

#Achey #Banjir #Kemaman #RS Megatravel
;