“Alhamdulillah, Rasa Terpaling Bahagia, Maksimum!” - Dini Scharzmann & Janna Nick Pilih Koh Lipe Untuk Bulan Madu
Bermulalah perjalanan hidup baharu pasangan selebriti Dini Schatzmann dengan pelakon Janna Nick sebagai suami isteri selepas selamat bernikah pada pagi Sabtu.
Bersyukur dan berasa terlalu bahagia, Dini memberitahu dia dan isterinya sememangnya mahukan sebuah majlis perkahwinan yang bersifat peribadi dan privasi.
“Alhamdulillah, rasa terpaling bahagia, maksimum. Rasa lega jua, majlis pernikahan ini sudah selesai dan berjalan lancar. Maka bermulalah perjalanan baharu kami sebagai suami isteri.
“Kami memang merancang perkahwinan yang bersifat peribadi dan privasi. Lebih bermakna untuk keluarga kami.
“This is a once in a lifetime moment in our life. Kami mahu jadikan majlis ini sesuatu yang indah sebagai memori kami berdua,” ujar Dini.
Berkongsi mengenai pemilihan lokasi bulan madu, Dini berkata mereka tidak sempat merancang untuk ke destinasi lebih jauh disebabkan kerja seni namun hanya akan bercuti di Koh Lipe, Thailand.
“Kami tidak sempat untuk merancang berbulan madu di destinasi lebih jauh kerana penggambaran drama sudah bermula.
“Tetapi kesempatan bercuti ini kami tetap bercuti bersama di Koh Lipe. Ini adalah destinasi bulan madu pertama kami,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Janna Nick Sedia Jadi Ibu - “Sekiranya Ada Rezeki, Mungkin Saya Akan Mula…”
Terdahulu, Janna Nick meluahkan rasa syukur dengan majlis pernikahan mereka yang berjalan dengan lancar seperti yang dirancang dan turut mengakui sudah bersedia untuk bergelar seorang ibu.
Janna Nick sah menjadi isteri kepada Dini Schatzmann dalam majlis pernikahan yang diadakan di sebuah masjid yang dipercayai di Langkawi, kira-kira pukul 8.35 pagi, Sabtu.