Hiburan
All Stars Buka Panggung: Rosyam Nor Tersingkir Minggu Separuh Akhir, Empat Pelakon Layak Ke Final Minggu Depan!
Minggu keenam program All Stars Buka Panggung (ASBP) telah berlangsung dengan meriah di Royal Theatre, Shah Alam malam tadi.
Seramai lima orang peserta telah berentap untuk menempatkan diri mereka ke pentas akhir yang bakal berlangsung minggu hadapan.
Namun di minggu separuh akhir, Datuk Rosyam Nor telah diumumkan sebagai peserta yang tersingkir untuk minggu keenam.
Hanya empat orang peserta iaitu Datuk Aaron Aziz, Zulhuzaimy, Rita Rudaini dan Noorkhiriah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.
Pada minggu keenam, setiap pelakon perlu menjayakan satu segmen dan mereka harus menjayakan babak secara spontan bersama gandingan sama ada Ajak atau Shahrol serta artis undangan seperti Mark Adam, Tomok, Bell Ngasri, Zulin Aziz dan A.R. Badul.
Menggungguli markah keseluruhan, Zulhuzaimy telah berjaya mengalahkan empat peserta lain pada minggu keenam ASBP dengan kutipan markah sebanyak 23.22 peratus.
Manakala, tempat kedua diikuti oleh Noorkhiriah (20.37%), Rita Rudaini (18.88%), tempat keempat, Datuk Aaron Aziz (18.85) dan Datuk Rosyam Nor dengan markah sebanyak 18.60%.
Penerima sumbangan sebanyak RM4,000 minggu ini adalah Nurul Kamal Mohamad Zainuddin atau lebih mesra dikenali sebagai Kamal Pendek.
Pusingan akhir pula akan berlangsung pada minggu ketujuh.
ASBP merupakan rancangan yang menguji dan mencabar pelakon untuk beraksi dalam babak komedi pentas secara spontan tanpa bantuan skrip.
Program ini menampilkan pelawak daripada kumpulan Shiro iaitu Ajak dan Shahrol sebagai pengacara.
Primadona filem Melayu alaf baru, Erra Fazira pula menggalas tugas sebagai Seri Dewi Panggung.
ASBP disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.
Program ini akan bersiaran selama 7 minggu pada setiap Jumaat, jam 9 malam.