Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

'Allahuakbar, Kau Buat Apa Dengan Anak Buah Aku!'

Gempak 27/08/2024 | 07:55 MYT
"Allahuakbar, kau buat apa dengan anak buah aku, takbir!"
Demikian jeritan ahli keluarga dipercayai bekas ipar kepada ibu kanak-kanak perempuan lapan tahun, yang maut dipercayai akibat kes penderaan di sebuah unit pangsapuri di Bandar Tasik Puteri, Rawang pada dua minggu lalu.

Suasana tegang berlaku setelah pasangan suami isteri itu dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pada Selasa, bagi menghadapi satu pertuduhan membunuh Nur Anissa Afiera Muhamad Zulhafize.

Mereka yang gagal mengawal perasaan turut menggasak pasangan suami isteri dengan pelbagai persoalan sebelum berjaya dihalang pihak berkuasa yang mengawal keadaan.

Ibu bapa saudara mangsa turut melaungkan 'keadilan untuk Nur Anissa'.

Laungan itu menyebabkan ibu kandung mangsa, Norfazira Radzi, 30, menangis ketika dibawa ke mahkamah.

Pada Selasa, bapa tiri dan isterinya didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas satu pertuduhan membunuh anak sulung wanita itu, pada dua minggu lalu.
Pengawal keselamatan, Mohamad Zulhelmy Amirrudin, 29, dan surirumah, Norfazira yang memakai baju hitam, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Chai Guan Hock.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada pasangan suami isteri berkenaan kerana kes itu berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh murid tahun dua itu di sebuah unit pangsapuri di Bandar Tasik Puteri, Rawang di sini, pada jam 11.51 pagi hingga 3.51 petang, 17 Ogos lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Sekiranya tidak dihukum gantung, tertuduh hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, hasil siasatan polis mendapati, kanak-kanak malang itu dipercayai dipukul dengan tangan, kaki, tali pinggang, penyangkut baju dan senjata tumpul sehingga maut.
Mangsa disahkan meninggal dunia di rumahnya oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh.
Pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa dapati terdapat kesan kecederaan di bahagian muka, bibir, paha, dagu dan lutut.
Sumber: Sinar Harian

#Dera #Kanak-Kanak #Maut #Penderaan #Anak Buah #Bekas ipar
;