Berita
Along Cham Kongsi Pengalaman Seni Di Atas Pentas
Bukan saja mahu dikenali sebagai pelawak dan pelakon komedi, Along Cham kini berbangga dengan kerjaya baru sebagai perunding dan penceramah motivasi yang bercerita pengalaman seni dengan orang ramai.
Ujarnya, dia kini menjalankan perniagaan yang menyediakan khidmat perunding untuk mendapatkan artis bagi menjayakan apa jua acara persembahan.
"Kelebihannya mana-mana pihak seperti syarikat korporat, saya boleh berunding secara terus dengan artis yang mereka mahu untuk jayakan persembahan mereka," katanya kepada Astro Gempak.
Bernaung di bawah sebuah syarikat perunding di Johor Bahru, Along juga terbabit sebagai penceramah motivasi yang berkongsi pengalaman sebagai anak seni.
"Sebagai 'celebrity speaker' saya berkongsi pengalaman dari 'zero to hero', masa jadi hero tiba-tiba kena saman kemudian bagaimana situasi apabila jatuh dan macamana boleh naik semula untuk berhadapan dengan orang ramai," katanya.
Akuinya, pada mulanya dia juga kekok untuk berdiri di atas pentas sebagai penceramah motivasi.
"Apaila masuk bisnes, saya tahu bisnes bukan suatu kerja yang mudah. Bagi syarikat yang mahukan khidmat artis dalam persembahan, saya cadangkan artis mengikut kemampuan mereka," katanya.
Sebagai satu strategi, Along yang juga merangkap Pengurus Kreatif, Miesya Yunus Holding Sdn Bhd memfokuskan lebih ramai artis Johor yang mendapat impak positif daripada penganjur dan orang ramai.
"Penyanyi Johor jika disusun dari zaman 1960-an sehingga sekarang semuanya adalah 'legend' termasuk artis daripada program realiti.
"Menariknya apabila berurusan dengan saya, harga tidak merepek dan tiada 'hanky-panky'.
"Ketika berceramah juga saya kongsikan bagaimana bakat dalam diri boleh menjana ekonomi seseorang.
"Sebenarnya, bakat dalam diri kita sendiri tidak tahu tapi bagaimana kita nak keluarkan bakat itu dan yakinkan pada orang lain.
"Sebagai contoh, bakat bukan saja pada menyanyi atau berlakon tapi masak burger juga adalah bakat kerana tiada orang lain boleh masak burger sedap," katanya.
Tambahnya, apa jua bakat yang mahu diasah berpunca daripada kemahuan hati itu sendiri untuk berjaya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: IG @alongcham