Hiburan

Amerul Affendi, Hairi Safwan, Along Eyzendy & Dr Rosdeen Suboh Bergabung Dalam Neo Disiden

Kamaruddin Razal
02/07/2019
11:12 MYT
Sponsor Banner
Amerul Affendi, Hairi Safwan, Along Eyzendy & Dr Rosdeen Suboh Bergabung Dalam Neo Disiden
Pelakon berbakat besar seperti Amerul Affendi (Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Antarabangsa ASEAN AIFFA), Dr. Rosdeen Suboh (Pelakon Terbaik Festival Filem Malaysia Ke 30), Hairi Safwan, Along Eyzendy, Taiyuddin Bakar, Mustakim Mohamad, Muhamad Shaqirin dan ramai lagi bakal bergabung dalam pementasan teater Neo Disiden.
Teater yang diarahkan oleh Khairunzawan Rodzy ini menggabungkan kembali alumni Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang juga merupakan graduan teater yang telah pun mencipta nama dalam industri seni.
Fakulti Teater ASWARA dengan kerjasama 4 Element Resources akan mementaskan Neo Disiden hasil tulisan Siti Jasmina Ibrahim yang juga merupakan graduan Fakulti Penulisan Aswara.
Teater inspirasi dari naskhah agung William Shakepeare Julius Caesar dan Tragedi Brutus ini diadaptasikan ke sebuah dunia yang memperlihatkan kebangkitan sebuah generasi dalam perjuangan mereka.
Neo Disiden membawa makna penentangan baru merujuk kepada sebuah kelompok yang berpegang pada tradisi sebuah organisasi dari ancaman monarki dan diktator yang melanggar norma yang selalu diamalkan oleh mereka yang ada dalam organisasi.
Ia digambarkan menerusi kehidupan sisi gelap organisasi mafia yang boleh berlaku di mana-mana.
Pementasan Neo Disiden adalah cetusan idea dari lahirnya pementasan teater Gedebe yang pernah diarahkan oleh Nam Ron dan dipentaskan pada tahun 2001 di Pangggung Eksperimen Aswara.
Beliau yang telah meraih anugerah Pelakon Terbaik FFM ke 29, Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke 30, Pengarah Terbaik Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) kali ini bertindak sebagai Pengarah Artistik.
Namun demikian pementasan kali ini diberi intrepretasi baru, sebuah dunia baru digambarkan menerusi sisi gelap pergerakan mafia berkonsepkan ‘noir’, kegelapan, kepincangan dan kepura-puraan.
Ia dianggap bersesuaian konsep yang dibawa berbeza dengan konsep skinhead dan punk yang ditampilkan dahulu.
Jangan lepaskan peluang anda untuk menyaksikan teater ini pada 19 Julai hingga 21 Julai 2019! Pada 19 Julai, pementasan akan berlangsung pada 8.30 malam dan pada 20 sehingga 21 Julai, pementasan akan diadakan pada 3.00 petang dan 8.30 malam bertempat di Pangggung Eksperimen, Aswara.
Tiket boleh didapati dengan harga RM55 dan RM40 serta RM25 khas untuk pelajar. Untuk info, hubungi Ika Ratna di talian 011-33951494.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar