Laman Utama
Anak Azizulhasni Awang Bangga Cerita Bapa Menang Pingat Perak Olimpik Dalam Kelas
Isteri kepada jaguh basikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang, Datin Athiah Ilyana terhibur melihat gelagat anaknya Amna Khadeeja apabila menceritakan pada rakan kelas tentang pencapaian bapanya meraih pingat perak dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.
Menurut Athiah atau lebih mesra disapa sebagai Tya, Amna, 6, yang mengikuti kelas secara maya banyak kali menceritakan momen membanggakan tersebut pada seluruh kelas.
“Sayang ayah dia sangat-sangat. Dalam kelas online dia hari ini, dia ada beritahu banyak kali yang ayah dia menang pingat perak dalam sukan Olimpik!
“Tak boleh bayang kalau dah pergi sekolah nanti, mahu satu sekolah dia canang. Mesti la kan, siapa tak bangga?” tulis Tya di laman Instagram.
Bukan itu sahaja, Amna turut melukis gambar bapanya di dalam TV sewaktu menerima kalungan pingat bersama bendera Jalur Gemilang serta logo sukan Olimpik.
Tambah Tya lagi, dia juga terharu apabila mereka sekeluarga turut menerima ucapan penghargaan beserta jambangan bunga daripada pihak sekolah.
“Alhamdulillah harini pengetua sekolah telefon dan ucap tahniah kepada saya. Saya terharu dan tak sangka mereka tahu.
“Saya terharu mereka Australian dan mereka sangat bangga siap hadiahkan jambangan bunga buat kami sekeluarga. Masyallah, i'm so happy,” tulis isteri The Pocket Rocketman ini lagi.
Pada perlumbaan akhir acara keirin, pelumba Britain, Jason Kenny mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Olimpik Rio 2016 manakala Harie Lavreysen (Belanda) meraih gangsa.
Dalam perkembangan yang sama Tya turut berkongsi berita gembira bahawa Azizul bakal menimang cahaya mata ketiga selepas dikurniakan dua cahaya mata perempuan Amna Maryam,9, dan Amna Khadeeja.
Sekadar info, Azizul dan Tya mendirikan rumah tangga pada 30 Januari 2010 dan mereka sekeluarga kini menetap di Melbourne, Australia.