Berita

Anak Ikut Gaya Hidup ‘Urban’, Azhar Sulaiman Akui...-“Mungkin Saya Galas Kesilapan Saya Sendiri...”

Syafiqah Jalal
17/11/2020
09:48 MYT
Sponsor Banner
Anak Ikut Gaya Hidup ‘Urban’, Azhar Sulaiman Akui...-“Mungkin Saya Galas Kesilapan Saya Sendiri...”
Pelakon Azhar Sulaiman akui telah membesarkan keluarganya dengan cara moden sehingga aksi dan penampilan anaknya terutama Kasih Iris Leona, 18, menimbulkan rasa kurang senang di kalangan netizen.
Pun begitu, sebagai ketua keluarga Azhar berkata dia masih cuba berusaha untuk memperbetulkan apa yang patut dalam bimbingan dan didikannya.
“Saya akui kami hidup dalam keluarga yang agak moden dan ‘urban’ sejak dari awal lagi.
“Jadi apa yang berlaku pada anak-anak saya mungkin saya galas kesilapan saya sendiri. Saya ambil pengajaran ini untuk membentuk anak saya menjadi seorang yang baik sehingga tiada ruang untuk netizen kecam.
“Saya juga nasihati mereka jika buat kesilapan itu cuba perbetulkannya dan kembali mendekatkan diri dengan Islam.
“Apa-apa pun marilah berharap agar mereka mengambil langkah yang selamat dalam apa jua yang mereka lakukan. Insya-Allah mereka pasti sedar,” katanya kepada Gempak.
Leona sering menjadi tumpuan di kalangan netizen dengan aksi dan penampilannya yang lebih kepada kebaratan dan moden.
Terbaharu, Leona dikecam gara-gara merakam dirinya dari aplikasi TikTok ketika berada di dalam kelas dalam sebuah institusi pengajiannya.
BACA: Anak Dikecam Rakam TikTok Dalam Kelas, Azhar Sulaiman Tampil Respon
Mengulas mengenai pelbagai kecaman yang telah diterima anaknya itu sebelum ini, Azhar akui anaknya belum matang.
“Saya rasa dia masih muda dan kadang-kadang belum matang untuk mengawal situasi yang dihadapinya.
“Sepatutnya dia tidak perlu menjawab atau balas kembali teguran dari netizen itu,” katanya lagi.
Leona pada Mac lalu turut hangat diperkatakan apabila dia dan kembarnya Andika Rees Pahamin berjaya meraih pencapaian terbaik dalam SPM 2019.
Azhar berkahwin dengan isterinya, Chempaka Emalin Pahamin dan mereka dikurniakan sepasang kembar Leona dan Andika Rees Pahamin serta Kasih Leia Ixora yang berusia 21 tahun.
Terbaharu, Azhar membintangi filem Bikin Filem yang kini sedang ditayangkan di Astro First.
Filem yang menampilkan realiti pembikinan filem itu turut menampilkan bintang-bintang lain seperti Sherry Alhadad, Azhan Rani, Amerul Affendi, Mark Adam, Azrel Ismail, Sharifah Sakinah, Scha Alyahya, Erra Fazira, Zain Hamid, Jasmin Hamid, Syazwan Zulkifly, Kodi Rasheed, Kamarool Hj Yusoff, ‘Raja Dubsmash Malaysia’ Ucop dan ramai lagi.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024